10 Feb : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pilihan Raya Kecil DUN Kajang akan dijadikan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Selangor.
Katanya, ia juga adalah sebahagian usaha untuk menangkis isu perkauman yang kini menjadi agenda utama Umno-BN.
“Jika ditanyakan kepada saya adakah sanggup untuk hadapi risiko dalam politik, ya kerana saya tidak mahu mengorbankan rakyat.
“Saya juga ingin jadikan Kajang sebagai landasan pelaksanaan pertumbuhan ekonomi, ada jaminan untuk setiap anak Selangor dan hak dapat dipertahankan.
“Saya tidak akan izinkan sesiapa pertikaikan hak sama ada dia Melayu, Cina, India atau orang Asli serta bangsa lain seperti Kristian dan yakinkan bahawa kita takkan khianati amanah juga hak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam syarahan bertajuk “The Asian Renaissance Courses di Dewan Reformasi Demokrasi dan Upaya Masyarakat, di Puchong, baru-baru ini.
Sebelum ini, Anwar menyeru seluruh pemimpin dan rakyat Selangor supaya bangkit mempertahankan hak setiap rakyat negeri itu daripada dirampas Umno-BN yang menunggu peluang untuk berbuat demikian.
PRK DUN Kajang akan berlangsung, pada 23 Mac ini sementara pembuangan undi awal akan dibuat pada 19 Mac ini.
Kerusi DUN Kajang kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan beliau, pada 27 Januari lalu.
Seramai 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK berkenaan, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan