07 Feb : Ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Mac depan sebagai medan untuk menghentikan pembulian kerajaan.
Anwar yang memulakan kempen awal ketika lawan Barisan Nasional (BN) masih belum mengumumkan calon mereka nampak selesa menggunakan kemahiran berpidatonya untuk menawan hati kira-kira 400 pengunjung yang hadir dalam ceramahnya di Taman Koperasi Cuepacs di Kajang, malam tadi.
Dalam ceramahnya, ketua umum PKR itu berkata, rakyat perlu bersatu untuk menolak kerajaan BN kerana membuli rakyat.
"Rakyat jangan kena buli, seorang boleh kena buli dengan kerajaan tetapi kalau kita bersatu kerajaan tidak boleh buli," katanya.
Rakyat ketika ini berdepan dengan kos harga barang yang tinggi selepas kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula yang sekali gus mewujudkan kesan domino.
Penduduk teruja sebaik sahaja Anwar tiba kira-kira jam 11 malam di tapak ceramah yang terletak di tengah kawasan lapang rumah pangsa, malah ada yang menanti seawal dari jam 8.30 malam.
Anwar yang baru selesai bertemu penduduk sekitar Sungai Kantan dan menunaikan solat di Surau Jenaris pada siangnya tidak sedikit pun menunjukkan keletihan, sebaliknya masih memberi penjelasan dengan bersemangat.
"Yang kita kena buat ialah bantu angkat martabat ekonomi negeri Selangor," katanya yang juga bekas menteri kewangan ketika menjelaskan tujuannya bertanding.
Anwar berkata, kerajaan negeri Selangor mempunyai dana untuk membantu rakyat dan ia perlu digunakan sebaiknya untuk meringankan beban mereka.
"Tapi yang pentingnya wang ada, kalau saya hendak bantu orang Selangor.
"Umpamanya saya mampu beri cadangan pelaksanaan kerana kita ada dana dan wang," katanya.
Anwar berkata, rizab negeri Selangor tidak salah digunakan selagi untuk kepentingan rakyat, berbeza dengan pemimpin BN yang mengagihkan kekayaan secara tidak adil.
"Saya bukan bagi kepada isteri saya, saya hendak bagi kepada rakyat.
"Kalau bagi kontrak kepada anak isteri, orang marah... kita bukan pegang kuasa sebab mahu ambil duit untuk diri kita, ini yang penting dalam Pakatan Rakyat," katanya.
Mengenai kemampuannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Anwar berkata, tugasan di Parlimen bukan penghalang kepadanya untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Nak jaga Permatang Pauh, nak jaga Parlimen lagi, saya mampu setakat saya boleh buat.
"Kalau saya fikir saya tidak boleh, saya tidak ambil," katanya.
PRK Kajang diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang, Anwar yang dikatakan akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor.
Lee, 42, adalah seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.
Dalam PRU13, Lee mendapat 19,571 undi, berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.
Komposisi pengundi di Kajang membentuk 49% Melayu, 40% Cina, 10% India dan 0.91% lain-lain. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan