SPECIAL ADS

1 Oktober 2013

Hutang negara menggunung, tak hairan harga minyak naik lagi

01 Okt : Kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 10 sen sebagaimana heboh diperkatakan dalam laman sesawang tidak boleh dinafikan akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan baru-baru ini menafikan spekulasi berkenaan, namun hutang negara yang menggunung memungkinkan langkah pemotongan subsidi dibuat sekali lagi.
Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, kerajaan ‘minoriti’ BN sepatutnya tidak terus-menerus mendera rakyat selepas pengurangan subsidi pada awal September lalu.
Azan_Ismail“Jangan naikkan minyak. Harga minyak jika diusik sedikit sahaja maka akan berlaku kesan rantaian kenaikan harga barang keperluan.
“Minyak melibatkan semua aktiviti. Malah penjanaan elektrik, rumah pam rawatan air, aktiviti rakyat ke kebun, mengangkut barang ke pasar semua perlu minyak. Harga barang keperluan tidak boleh dielak akan meningkat.
“Kerajaan perlu cari idea baru untuk bayar hutang bukannya mengalih beban ke bahu rakyat,” bidasnya.
Azan turut mencabar kerajaan BN menjelaskan kepada sektor manakah wang subsidi itu diagihkan.
“Subsidi ditarik dari rakyat disalurkan kepada penganjur lumba motorsikal, Monsoon Cup, F1 litar Sepang dan sebagainya. Acara seperti itu diberi geran khas. Ini polisi yang tidak masuk akal,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof ketika mencelah dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di Parlimen, 30 September lalu, mencadangkan agar golongan miskin diberi kad khas subsidi bahan api bagi menjawab dalih kerajaan BN kononnya subsidi dinikmati golongan kaya dan 1.3 juta pendatang asing.
“Kerajaan boleh tetapkan had berapa liter sebulan kepada golongan yang dikategorikan sebagai miskin, jika nak guna lebih maka dia kena bayar,” katanya.
Kerajaan awal September lalu memperkenalkan harga baharu bagi RON95 dari RM1.90 kepada RM2.10 seliter dan diesel daripada RM1.90 kepada RM1.80.

Tiada ulasan: