SPECIAL ADS

1 Februari 2014

Kajang: PR ada kelebihan isu, BN serang peribadi Anwar

01 Feb : Pakatan Rakyat (PR) dijangka mempunyai kelebihan berbanding Barisan Nasional (BN) daripada segi penggunaan isu yang mampu menambat hati pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang bakal dilangsungkan dalam masa terdekat.

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik, berkata antara isu dijangka mampu mempengaruhi pengundi akan dibawa PR dalam PRK terbabit seperti kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Di pihak PR memang kelebihan ada dengan isu berkisar kos sara hidup seperti kenaikan harga barang, kegagalan BN menunaikan janji sebelum pilihan raya umum tidak menaikan harga barangan keperluan utama atau tarif perkhidmatan tertentu,” katanya kepada Selangor Kini, di sini.

Dr MaszleeDr Maszlee yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata beliau menjangkakan pengundi Cina di Kajang ketika ini masih kekal dalam mood memilih calon PR sebagai wakil mereka di Dewan Negeri Selangor.

Sementara itu, BN pula pada peringkat awal akan memainkan isu perletakkan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang.

Katanya, isu peletakan jawatan itu secara perlahan akan hilang ekoran penerangan yang dibuat barisan kepimpinan PR.

“Ramai terkejut dengan perletakkan jawatan, tidak kira penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pengundi biasa di peringkat akar umbi tetapi kita lihat dua tiga hari ini penjelasan oleh Rafizi, Dr Manuaty, Khalid Samad dan kepimpinan PR lain akan meredakan suasana. Jadi isu letak jawatan ini akan hilang.

“Manakala, isu prestasi Adun lama bukan isu besar sebab bila Anwar bertanding, banyak isu nasional yang timbul,” katanya.

Dr Maszlee berkata, BN tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menggunakan strategi politik tipikal mereka dengan menyerang peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PR dalam PRK Kajang itu.

“Tun Mahathir sendiri sudah mula tidak menekankan isu persoalan peletakan jawatan Adun PKR tetapi main isu peribadi Anwar. Menyerang peribadi Anwar juga bukan isu yang besar sebenarnya tetapi hanya itu sahaja pilihan yang BN ada ketika ini,” katanya. HD

Tiada ulasan: