03 Feb : Ahli Parlimen Seputeh,Teresa Kok berkata kenyataan menteri Umno serta konco mereka yang memutarbelitkan isi kandungan klip video Tahun Baru Cina “Onederful Malaysia” menunjukkan kebankrapan modal politik Umno.
"Sekiranya saya diambil tindakan oleh pihak berkuasa, jadi saya akan jadi penerbit klip video satira politik yang pertama dikenakan tindakan. Ini penindasan politik dan pendakwaan secara terpilih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelbagai pihak membuat kenyataan mengenainya termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan NGO pro-Umno yang memutarbelitkan isi kandungan klip video Tahun Baru Cina itu.
Dalam video yang dimuat naik di laman web beliau Isnin lalu, Kok memegang watak sebagai hos dalam acara bual bicara dengan menemuramah panel, tiga pakar mengenai feng shui dan apa yang diharapkan dalam Tahun Kuda.
Tiga watak pakar itu ialah - Brother Wai, lelaki mudah tersentuh dan mengalirkan air mata; Puan Jit, wanita gemuk berambut besar yang suka barang kemas dan beg tangan, serta Cik Yan Yan, pakar dalam pelancongan dan Feng Shui.
Nasihat pakar tersebut antaranya melibatkan beberapa isu termasuk keselamatan, kekayaan, pendidikan dan ekonomi, menjadi topik dengan anekdot biasa kepada rakyat Malaysia .
Antara lain, merujuk kepada cincin berlian, beg tangan berjenama dan hartanah di New York dan beberapa bahan berita lain yang berkaitan pelancongan dan pendidikan vernakular.
Walaupun tidak secara langsung, penonton video 'Onederful Malaysia CNY 2014' Kok mungkin mengaitkan ini kepada kegemaran Rosmah membeli barangan mewah dan pembelian pangsapuri oleh anaknya, Riza Shahriz Abdul Aziz di New York bernilai RM100 juta.
"Mereka sudah tidak mampu lagi menikmati atau memahami humor politik, sebaliknya cuba membangkitkan isu perkauman atas klip video satira politik (political satire) untuk menutup kegagalan mentadbir negara," kata Kok dalam kenyataannya hari ini.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, video itu tidak menyebut tentang insiden Lahad Datu sebaliknya soal keselamatan di Sabah.
"Dialog pelakon yang memegang watak guru Feng Shui dalam klip video itu hanya sebut tentang kejadian menembak dan penculikan di Sabah tanpa menyentuh peristiwa Lahad Datu, malah tiada apa-apa dialog yang mengejek atau merendahkan prestasi tentera kita yang mempertahankan negara dalam kejadian Lahad Datu," katanya.
Katanya, kejadian pelancong Taiwan ditembak mati manakala isterinya diculik oleh lanun di kawasan perairan Sabah tahun lalu memang dirujuk dalam klip video tersebut kerana ia adalah kejadian benar yang diketahui seluruh dunia.
"Tuduhan Shafie terhadap saya menunjukkan beliau ingin memainkan isu perkauman dengan membangkitkan kemarahan tentera terhadap saya," katanya.
Selain itu, katanya, ini juga menunjukkan bahawa Shafie tidak peduli masalah keselamatan yang dibimbangi oleh rakyat Sabah dan pelancong dari seluruh dunia.
Kok berkata, respons beliau adalah amat tidak bertanggungjawab bagi seorang menteri persekutuan yang berasal dari Sabah.
"Tuduhan bahawa saya memalukan perdana menteri dan isterinya adalah tidak benar kerana memang tiada dialog pelakon yang menyentuh nama mana-mana pemimpin negara, sama ada Najib atau isterinya.
"Bagaimana orang-orang yang menuduh saya boleh menimbulkan dakwaan tidak berasas ini? Apa yang sebenarnya mereka khayalkan dalam minda mereka," katanya.
Beliau juga memaklumkan klip video itu tidak menyentuh isu kaum atau merendahkan martabat Melayu.
"Ini satu lagi kegilaan segelintir golongan pro-Umno yang rasis, iaitu apa saja kritikan terhadap kelemahan dan kesalahan kepimpinan Umno akan dituduh sebagai “menghina” Melayu, seolah-olah hanya Umno yang mewakili semua orang Melayu di negara ini," katanya.
Katanya, tuduhan bahawa beliau menghina martabat Melayu dalam ucapan permulaan dalam klip video tersebut adalah tuduhan palsu.
Kok berkata, tajuk klip video itu adalah kombinasi Mandarin dan Kantonis. “Ma Lai” dalam Mandarin bermaksud “kuda datang”, “sai lei ah” dalam Kantonis bermaksud “sangat hebat”.
Tahun Baru kali ini adalah Tahun Kuda dalam kalendar Cina.
"Ucapan saya sebagai pengacara dalam program video tersebut langsung tidak sebut tentang orang Melayu.
"Saya harap kumpulan pro-Umno yang membuat tuduhan palsu itu agar segera bertaubat kerana ia boleh menimbulkan ketengangan kaum.
"Jika boleh, selidik dahulu bahasa Mandarin dan Kantonis sebelum membuat tuduhan yang akhirnya akan memalukan diri sendiri. Seperti kata pepatah Melayu, apabila meludah ke langit, tentu kena muka sendiri," katanya.
Katanya, isi kandungan klip video itu membayangkan beberapa isu semasa di negara kita yang dibimbangi rakyat.
"Sanggupkah Umno menafikan pandangan dan sentimen rakyat terhadap mesej yang dibangkitkan dalam klip video itu.
"Ramai orang Melayu sendiri sedar tentang pembohongan Umno-BN kerana itulah lebih 50% rakyat Malaysia termasuk orang Melayu memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum tahun lalu," katanya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap penulis blog dan pemimpin BN.
Kok berkata, isi kandungan klip video “Onederful Malaysia” adalah satira politik yang tidak perlu disiasat di bawah Akta Hasutan kerana ia tidak merujuk kepada mana-mana pihak, dan dengan itu tidak bersifat hasutan.
Satira politik merupakan humor yang mengajak rakyat, terutamanya rakyat yang berani berfikir serta sanggup menggunakan akal fikiran untuk berfikir, untuk memikirkan keadaan semasa dan masa depan negara.
"Sekiranya polis dan pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap saya, saya ingin tanya mengapa tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap golongan yang membuat tuduhan palsu terhadap saya dalam isu klip video ini,” katanya.
Malah, katanya, penulis blog Umno yang membuat cerita palsu kononnya anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabuli kehormatan seorang gadis bawah umur, tidak dikenakan tindakan.
“Mengapa polis tidak menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang membuat kritikan amat tidak sensitif terhadap calon wanita PAS di Pilihan Raya ecil Tenang bahawa beliau tidak berjabat tangan dengan lelaki.
“Penulisan dan kenyataan yang menyakiti hati pemimpin Pakatan Rakyat tidak disiasat tetapi sekarang polis dan kerajaan ingin menyiasat satu klip video lawak jenaka yang menyindir isu semasa. Bukankah ini membayangkan “double standard” kerajaan dan polis,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata polis akan menyiasat kenyataan Kok dalam klip video yang didakwa berbaur fitnah itu.
Beliau berkata, sekiranya polis mendapati Kok melanggar undang-undang dan peguam negara yakin terdapat cukup bukti terhadapnya, kes itu akan dibawa ke mahkamah.
"Tetapi sekiranya tidak berlaku pelanggaran undang-undang, dengan itu peguam megara akan kata tiada tindakan lanjut.
"Tiada siapa boleh kata polis dan peguam negara lemah kerana jika kes itu dibawa ke mahkamah dan ditolak, dengan itu peguam negaradan polis akan kelihatan kurang bijak," katanya, hari ini. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan