03 Feb : Video ‘Onederful’ Malaysia Tahun Baru Cina 2014 yang diterbitkan baru-baru ini hanyalah sindiran politik yang tidak ditujukan kepada mana-mana pihak malah bertujuan membuat orang ramai terhibur sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berkata sebarang andaian yang mendakwa kononnya video itu mempunyai kaitan dengan seorang tokoh politik adalah tidak tepat dan berdasarkan imaginasi masing-masing.
“Dakwaan ini tidak benar. Apa-apa andaian yang mengatakan bahawa individu yang digambarkan dalam video itu ada kaitan dengan seorang tokoh politik adalah berdasarkan imaginasi mereka sahaja,” katanya dipetik Astro Awani.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata beliau tidak berhasrat untuk memadam atau menarik semula video yang telah dikongsi di platform media sosial.
Katanya mesej sebenar klip video berdurasi 12 minit yang disiarkan dalam bahasa Mandarin dan Kantonis itu hanya boleh difahami sepenuhnya oleh golongan yang fasih terhadap kedua-dua bahasa itu.
“Ia hanya video sindiran dan saya tidak melihat sebarang kesalahan mengenai perkara itu. Kami hanya mahu berseronok untuk Tahun Baru Cina,” katanya lagi.
Video bertajuk Teresa Kok “Onederful” Malaysia CNY 2014 yang diterbitkan pejabat DAP Seputeh di saluran Youtube kini mempunyai lebih 40,000 tontonan.
Video ini turut dikongsi Teresa di laman Facebooknya dengan menggambarkan beliau sebagai tuan rumah sedang menemuramah tiga ahli panel mengenai Tahun Baru Cina tentang ramalan feng shui mereka.
Antara isu yang dibangkitkan adalah isu kos sara hidup di Malaysia, sistem pendidikan dan lain-lain. – Selangor Kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan