SPECIAL ADS

2 Julai 2014

Sistem beraja lebih mudah laksana syariah

KOTA BHARU: Keupayaan Brunei dan beberapa negara Arab melaksanakan perundangan Islam dilihat antara faktornya kerana sistem beraja yang memayungi kerajaan.

Penganalisis politik, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, negara-negara yang mengamalkan sistem beraja dilihat lebih mudah melaksanakan perundangan syariah berbanding sistem presiden.

“Ini kerana raja menjadi payung atau pelindung kepada rakyat. Raja tidak boleh disingkir seperti Presiden. Jadi apabila minat mendalam datang dari istana maka pelaksanaan perundangan Islam akan menjadi lebih mudah.

“Lagi pun di Malaysia sultan sebagai ketua agama Islam. Kejayaan di Brunei kerana sultannya sendiri mahu perundangan Islam dijalankan di negara tersebut,” katanya di sini.

Pada 4 April lalu kerajaan Kelantan mengumumkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi mendapat kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Usaha itu dilakukan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu kerajaan akan menyokong mana-mana negeri membawa usul berkaitan hudud ke parlimen.

Dr Abu Hassan yang juga Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan  Universiti Malaysia Kelantan berkata, perkenan Raja-Raja Melayu dianggap lebih utama berbanding halangan perlembagaan.

Katanya, rakyat akan akur apabila ada Raja-Raja Melayu bertitah mengenainya kerana mereka mengharapkan suasana kehidupan lebih tenteram.

“Kalau dilihat di Brunei, sultan sendiri yang mahu maka rakyat negara itu terpaksa menerimanya dengan terbuka,” katanya.

Sebaliknya beliau berkata, di negara-negara yang mengamalkan sistem presiden mahkamah perlembagaan menjadi penentu seperti yang berlaku di Pakistan. HD

Tiada ulasan: