KOTA BHARU: Pendakwah ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus membidas golongan yang anti amalan berkebajikan termasuk memberi sedekah dan sumbangan kepada pengemis dan gelandangan.
Sambil menyifatkan golongan itu tidak ‘menyumbang’, bahkan ada sesetengahnya terbabit dengan saham haram, melakukan penyelewengan harta benda rakyat, namun kini mahu menghalang umat Islam bersedekah dalam bulan Ramadhan.
“Manusia seperti itu, datanglah bulan apa pun, hatta bulan Ramadhan pun, mereka tetap tidak suka kepada perkara kebajikan.
“Jangan hairankan sikap mereka itu. Pergi sajalah memberi sumbangan kepada golongan dhaif dan memerlukan itu,“ katanya ketika menyampaikan kuliah di Madinah Ramadhan, Dataran Stadium di sini petang semalam.
Turut hadir pada program Sepetang Di Madinah Ramadhan – Bicara Bersama Selebriti Dakwah Ustaz Azhar Idrus (siri Ihya’ Ramadhan 1435 Hijriah) itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Hadir sama Imam Solat Tarawih Madinah Ramadhan dari Mesir Syeikh Hisham Abdul Bari.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan media mengenai kenyataan pihak tertentu yang bertindak tidak selaras dengan kehendak Islam termasuk dalam perkara pemberian sedekah dan sumbangan kepada pengemis dan gelandangan.
Ustaz Azhar membidas pihak berkenaan yang disifatkannya ‘berpenyakit’ sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud) “dalam hati mereka itu ada penyakit, (maka) Allah akan tambahkan lagi penyakit”.
“Itulah sikap munafikin, yang menyuruh berbuat perkara mungkar, dan melanggar perkara berkebajikan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan