SPECIAL ADS

9 Julai 2014

Sekatan ke atas Malaysiakini, TMI bersifat anti-demokratik

Fahmi
KUALA LUMPUR : Jabatan Perdana Menteri (JPM) digesa menarik balik larangan terhadap Malaysiakini dan The Malaysian Insider (TMI) kerana menghalang dua portal media itu membuat liputan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, difahamkan larangan tersebut berkuatkuasa hari ini tanpa sebab dan tarikh larangan akan ditarik balik.
Beliau berkata, larangan terhadap media terbabit bersifat punitif, anti-demokratik dan langsung tidak membantu membangunkan masyarakat madani yang mana salah satu terasnya adalah kebebasan media.
“Najib harus ingat, di zaman media sosial ini, rakyat Malaysia dan juga di seluruh dunia mendahagakan kebenaran dan menolak sebarang penipuan serta usaha untuk mengaburi mata rakyat.
“Beliau juga harus ingat, media yang bebas akan membantu memastikan wujud sekatan dan imbangan (checks and balances) dalam sesebuah pentadbiran,” kata Fahmi dalam kenyataan.
Malaysiakini hari ini sekali lagi dilarang daripada membuat liputan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Larangan ini adalah yang kedua dalam tempoh dua minggu.
Portal berita itu mahu membuat liputan sidang media Perdana Menteri pada jam 10 pagi, seperti diumumkan Bernama semalam. KD

Tiada ulasan: