03 Feb: Masyarakat Kajang menganggap pemilihan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang nanti sebagai tepat pada masanya dan yakin dengan kemampuan Anwar memperjuangkan isu rakyat.
Pendapat itu disuarakan penduduk Kajang sendiri apabila Anwar diketahui umum sebagai mempunyai pengalaman dan rekod yang baik ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sebelum ini.
“Saya sebagai penduduk Kajang tentunya berbangga bila dapat tahu Datuk Seri Anwar sendiri bertanding di sini kerana kita semua memang tahu kewibawaan dan ketokohan beliau sebagai Ketua Pembangkang.
“Saya sebagai penduduk Kajang memang mengalu-alukan dia sebagai Adun Kajang. Saya rasa kehadiran Anwar mampu menambah baik keadaan kehidupan masyarakat Kajang,” kata Arif Abd Wahab, 56, seorang penjaja makanan di Bandar Kajang.
Arif yang merupakan seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata demikian kepada Selangor Kini dalam satu tinjauan umum bagi mendapatkan reaksi pengundi Kajang dalam isu pencalonan Anwar sebagai calon di sini, hari ini.
Arif juga berharap agar Anwar sekiranya menang dalam PRK Kajang nanti akan memberikan tumpuan kepada isu yang melibatkan kepentingan peniaga kecil khususnya golongan peniaga Melayu di Kajang.
Mariyappan Vadivelu, 82, yang sudah berkhidmat sebagai pemandu Teksi di Kajang selama 43 tahun pula berkata pemilihan Anwar sebagai calon merupakan pilihan terbaik dan dinanti-nantikan pengundi Kajang.
“Dia orang lama, ada pengalaman banyak hingga pernah jadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan. Saya rasa dia akan menang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk sini,” kata Mariyappan pula.
Krew Ambulan, Muhammad Fahyudin, 28, berkata Anwar boleh dianggap sebagai idola rakyat negara ini khususnya golongan muda dalam memperjuangkan hak rakyat.
“Datuk Seri Anwar ini adalah idola kepada rakyat biasa lebih-lebih lagi golongan muda. Jadi memang baguslah kalau dia yang jadi Adun sini nanti, memang tuah penduduk sini. Saya percaya Anwar dapat membantu dari segi menaikan taraf kehidupan rakyat di sini,” kata beliau kepada Selangor Kini.
Katanya lagi, PRK yang berlangsung di Kajang juga mampu memberi kesan positif kepada penduduknya apabila kehadiran ramai petugas pilihan raya akan menyemarakkan lagi ekonomi penduduk khususnya yang terlibat dalam aktiviti perniagaan.
Che Puan Baharum, 52, pengurut tradisional pula berpendapat aura sebagai seorang pemimpin berwibawa yang dimiliki Anwar menyebabkan beliau disenangi pelbagai lapisan masyarakat.
“Akak harap kalau Anwar menang dapatlah bantu orang-orang susah macam kakak ini sebab umur kakak pun sudah melebihi 50 tahun, kurang larat nak mengurut lagi,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan