SPECIAL ADS

3 Februari 2014

PRK Kajang: Anwar jamin Pakatan amal politik bersih, tidak kritik peribadi

03 Feb : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) memberi jaminan, parti berkenaan tidak akan menggunakan sentimen peribadi ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, sebaliknya akan fokus kepada isu kebajikan penduduk.
Ketua Pembangkang itu menegaskan, tindakan parti lawan dari Barisan Nasional (BN) menggunakan isu peribadi beliau bukanlah perkara baru, kerana ia berlarutan sejak 1998 apabila beliau dipecat daripada kerajaan.
"Ia bukan perkara baru. Sejak 1998, mereka serang saya menggunakan isu ini," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Perkara sama digunakan setiap kali berlakunya PRK, jadi kenapa perlu saya rasa tertekan. Mana ustaz Umno? Mana etika Islam?" soal Anwar ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan semalam dilaporkan berkata, parti itu akan menggunakan kes rayuan Liwat II dan video seks seorang lelaki menyerupai Anwar modal kempen mereka.
Anwar jelasnya tidak boleh menghalang sesiapa juga yang mahu menggunakan kontroversi berkenaan sebagai modal berkempen, kerana kes liwat pemimpin pembangkang itu belum selesai.
“Persepsi terhadap beliau masih ada tentunya kerana dia belum disahkan Mahkamah Rayuan dan selepas itu belum lagi disahkan di Mahkamah Persekutuan.
"Jadi, dia tidak boleh menghalang sesiapa untuk bercerita bahawa dia adalah seorang yang masih lagi mempunyai kes di mahkamah,”kata Ahmad.
"Kes video belum selesai, kes liwat belum selesai. Jadi, selepas itu pergi ke masjid, orang masjid pun mendengar, orang masjid pun berfikir, dia ini sudah lepas. Tidak betul. Dia ini belum lepas. Saya sebut ini tentang fakta."
Anwar, bagaimanapun berkata beliau sudah biasa menghadapi tekanan sedemikian.
"Saya tidak risau tekanan politik," kata Anwar.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagaimanapun menyelar kenyataan Ahmad, dan menegaskan perbuatan itu menyalahi peraturan pilihan raya.
Abdul Aziz berkata, SPR akan memantau tempoh berkempen, selain meminta tiada sebarang unsur provokasi dilakukan sepanjang tempoh itu.
“Perkara itu belum pun lagi berlaku tetapi kita ada peraturan. Fitnah, pembohongan, memalukan dan mengaibkan tidak dibenarkan. Kita akan pantau.
“Perkara ini saya lihat lebih kepada serangan peribadi dan ia tidak dibenarkan,” katanya. TMI

Tiada ulasan: