SPECIAL ADS

17 September 2013

ASB2 sekadar melepas batuk di tangga

17 Sep : PAS menyifatkan pelancaran Amanah Saham Berhad 2 (ASB2) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekadar melepaskan batuk di tangga, selain tidak mengambil iktibar dari kegagalan program-program terdahulu.

Sebaliknya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu melakukan perubahan pendekatan dan struktur supaya menjadi lebih dinamik dan dapat bersaing secara agresif bagi menjana pendapatan tinggi.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata PNB sebenarnya boleh mengerakkan ASB2 tanpa perlu menunggu Najib berbuat demikian. 

“PNB ini mengambil pendekatan jalan selamat. Mereka tidak agresif untuk membangunkan dan mengangkat pendapatan negara kasar (GNI) berkapita orang Melayu kerana kaedah perlaksanaan kerja masih sama. 

"Mereka masih menggunakan pendekatan tidak mahu mengambil risiko, dengan kata lain tidak mahu memecah dan menembus pasaran rantaian pembekalan,” jelas Dr Dzulkefly dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

PNB merupakan syarikat pengurusan modal terbesar di Malaysia dengan misi sebagai organisasi pelaburan untuk meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera. 

Tambah beliau, jika PNB berfikir secara bersungguh, memikirkan dan menganalisa apa lompang serta kegagalan model yang lalu, mereka didapati tidak menganalisa secara mendasar atau struktural, khususnya untuk mengangkat apa yang dikatakan pendapatan berkapita orang Melayu.

“Mengambil contoh, kalau kita katakan ASB2 mempunyai ’strategi’  yang bukan sahaja mengambil pendekatan jalan selamat tetapi mengambil sedikit lebih risiko untuk terlibat dalam membangunkan syarikat-syarikat ‘upstream’, ‘down stream’ termasuklah terlibat dalam mempastikan urusan pasaran syarikat-syarikat vendor mereka.

“Tidak hanya mengambil ekuiti semata-mata tetapi mempunyai keprihatinan membangunkan vendor-vendor bagi menjana nilai tambah dan mempunyai keprihatinan untuk membangunkan seluruh vendor dalam 'supply chain' itu,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Najib turut mengumumkan suntikan 10 bilion unit saham di bawah ASB2 yang akan dilancarkan PNB.

Pengerusi PNB, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilaporkan berkata, setiap individu diberi had maksimum dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah RM200,000 bagi menggalakkan penyertaan daripada golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham.

Tiada ulasan: