SPECIAL ADS

16 September 2013

Pemerintah Umno-BN didakwa serah Tanah Kampung pada orang kenamaan

Manikavasagam
16 Sep : : Lebih 40 tahun mendiami Kampung Jalan Kenangan, Kapar, penduduk asal kampung itu berputih mata apabila geran tanah kediaman yang dijanjikan Kerajaan Umno-BN diserahkan kepada orang luar.
Pengerusi Badan Bertindak Kampung Jalan Kenangan, Hanif Mohd Sani berkata penduduk asal yang berpenat-lelah meneroka tanah kampung itu diketepikan sehinggakan terpaksa mendiami tanah setinggan.
“Setiap kali pilihan raya mereka akan tabur janji yang sama, nak beri geran, hinggalah kira-kira seminggu sebelum pilihan raya 2008, akhirnya mereka keluarkan borang 5A tetapi yang dapat orang luar yang tidak ada kena mengena dengan kampung ini, cuma sebahagian sahaja orang kampung yang dapat,” jelas beliau.
Menurut Hanif, penduduk pada asalnya sudah pun memperolehi Lesen Menduduki Sementara (TOL) bagi tanah kediaman masing-masing tetapi pada 2001 Kerajaan Negeri Umno-BN membatalkan tol berkenaan. Hanif mendakwa mereka dijanjikan geran tanah sebagai ganti.
Menurut Hanif lagi, lot tanah paya hutan bakau berdekatan pintu kunci air berkembar di kampung itu diserahkan kepada beberapa orang kenamaan politik yang bergelar Datuk dan Datuk Seri.
“Pada asalnya saya dapat tahu mereka hendak buat projek tetapi tidak jadi bila Pakatan Rakyat Selangor menang pilihan raya pada 2008. Sejak itu hutan paya bakau itu cuma ditebang, kemudian naik hutan semula, tebang lagi, naik balik hutan, tidak ke mana,” ujarnya lagi.
“Ada juga penduduk asal ditawarkan borang 5A, tetapi dalam keadaan dibahagi dua, rumah kena pecah dibahagikan dengan jiran sebelah, jadi terpaksa tolak kerana tidak adil kepada penduduk asal kampung ini,” kata Hanif.
Hanif yang belum mahu mendedahkan nama individu yang memperolehi tanah hutan paya bakau itu memberitahu beliau masih menyimpan segala dokumen berkaitan termasuk pelan asal dari pejabat tanah sekiranya diperlukan sebagai bukti.
Bagaimanapun kekecewaan penduduk asal Kampung Jalan Kenangan terubat apabila baru-baru ini Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang ada sekarang menyerahkan TOL bagi tanah kediaman penduduk terbabit.
Selain itu, ketika ini Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi juga sedang berusaha agar penduduk kampung itu boleh menerima borang 5A dalam masa tiga tahun lagi.

Tiada ulasan: