SPECIAL ADS

11 September 2013

Pak Samad: Jalur Gemilang harus hormati Sang Saka

11 Sep : Tujuan pertemuan di OldTown White Coffee LRT Bangsar petang tadi pada asalnya hanyalah mahu berbual santai mengenai program bedah buku yang akan diadakan Sabtu ini.

Namun dalam suasana politik sekarang, saya percaya sesiapa pun yang bertemu dengan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said tidak akan melepaskan peluang bertanya tentang kisah beliau ditahan polis pada tengah malam untuk disoal siasat.

Beliau yang biasa dipanggil Pak Samad ditahan di rumahnya di Bangsar jam 12 tengah malam 4 September lalu, bagi membantu siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya di Dataran Merdeka pada malam ambang kemerdekaan.

Sebelum bercerita mengenai penahanannya, telinga saya terlebih dahulu didengarkan dengan pendapatnya yang jujur, yang masih tabu bagi sesetengah orang.

"Bagi saya, bendera Sang Saka itu kita harus luhur, kita harus hormati, kita harus jiwai bahawa itu adalah tanda bahawasanya satu ketika dalam sejarah, ada wira yang berjuang untuk kemerdekaan dan bendera itu adalah panjinya.

"Kita tidak boleh menghina panji itu hanya kerana ada Jalur Gemilang. Jalur Gemilang harus hormati Sang Saka sebab Sang Saka yang berjuang melahirkan Jalur Gemilang," ujarnya bagi mengulas kewujudan bendera Sang Saka yang dinafikan kewujudannya.

Pada malam ambang kemerdekaan 30 Ogos lalu, Pak Samad sedang membaca puisi di Dataran Merdeka sambil beberapa orang aktivis mengibarkan bendera Sang Saka, sebelum seorang lelaki tiba-tiba bertindak merampas Sang Saka.

Mengimbau sejarah kemerdekaan negara, lelaki 81 tahun itu berkata, rakyat harus sedar pejuang-pejuang seperti Rashid Maidin, Abdullah Sidi, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Al-Helmy bersungguh-sungguh mahu memerdekakan tanah air dari jajahan British.

"Kita harus hormat orang-orang itu. Mereka telah memberikan nyawanya. Kita harus hormat kerana merekalah mempercepatkan kemerdekaan tanah air," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa bendera Sang Saka yang mewakili parti Komunis, Pak Samad berkata, Sang Saka mewakili semangat dan perjuangan pihak yang turut berjuang memerdekaan negara, sebelum ada pihak yang 'menikmati kemerdekaan', sambil menyifatkan orang yang tidak menghormati bendera Sang Saka sebagai buta sejarah.

"Itu bagi saya ikut sedap mulut sahaja. Orang yang tak tahu sejarah memang buta sejarah, memang begitu sikapnya. Takkan  bendera (Sang Saka) itu timbul begitu sahaja. Tentu ia mewakili satu semangat, perjuangan, pengorbanan, bendera itu simbolik kepada perjuanagan.

"Cuba buktikan bendera itu adalah songsang, negatif, tidak. Dia adalah wakil kepada semangat perjuangan. Walaupun tempatnya sekarang tak sepenting Jalur Gemilang tapi jalur gemilang harus hormat, harus faham bahawa dengan ada Sang Saka ia berkembang menjadi Jalur Gemilang dan kita tidak harus ikut suka-sukaan mengata atau mencemuh.

"Saya fikir orang yang menikmati kemerdekaan yang mencipta Jalur Gemilang. orang yang berjuang untuk kemerdekaan mencipta Sang Saka. Banyak latar sejarahnya yang barangkali kita tidak tahu," jelasnya panjang lebar sebelum menghirup secangkir kopi panas yang dipesan.

Tinggal pesan pada pengawal keselamatan

Walaupun sudah membaca laporan media lain mengenai penafian Pak Samad bahawa beliau menyembunyikan diri dari polis, saya tidak dapat menahan hati yang mahu mendengar perkara itu dari mulut Pak Samad sendiri.

Sambil ketawa mendengar soalan saya, Pak Samad berkata beliau sudah meninggalkan pesan kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahannya sebelum ke Masjid Negara untuk beriktikaf, rutin beliau setiap Selasa dan Khamis.

"Hari yang dia (polis) nak tangkap, saya beritahu dekat guard rumah saya. Saya jangka polis akan datang. Saya bilang dengan guard itu, bilang dengan polis saya hari ini beriktikaf di Masjid Negara dan ada beberapa kumpulan wartawan yang tunggu sama saya sebab mereka pun percaya yang polis akan datang (tapi)dia tidak datang. Kemudian IGP umum saya lari.

"Malam itu memang dia datang dan memang dia datang dengan hormat. Dia kata; Pak, kami mahu mengambil bapak hanya untuk satu setengah jam untuk record (kenyataan) dan kami akan hantar balik. Dia cakap dengan ibu (isteri).

"Saya anjurkan begini;anda pulang dulu, esok jam 10 saya datang tapi dia kata kena malam juga sebab esok kami kena laporkan. "Sekarang kadang-kadang saya jumpa polis atau polis jumpa saya, kadang-kadang dia segan, saya pun segan. Ada yang biasa kalau di KLCC, Pak, tegurnya. Ada yang tahu tapi memalukanlah tindakan itu," ceritanya.

Apabila ditanya pandangannya mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 September, Pak Samad berkata sambutan itu suatu yang baik bagi memperingati Sabah dan Sarawak.

"Bapak fikir itu hak kita untuk sambut, memang kita harus meraikan sebab biasanya kemerdekaan itu kita fikirkan hanya Semenanjung sahaja. Kita lupa Sabah, Sawarak tapi saya fikir seharusnya ada satu (sahaja) hari kemerdekaan sebab kalau ada dua hari kemerdekaan itu membayangkan perpecahan, bukan perdamaian. Kita harus berani untuk membetulkan, pilih hanya satu," ujarnya. 

Berkongsi pengertian kemerdekaan bagi dirinya pula, Pak Samad berkata kemerdekaan itu harus selari dengan rasa mahukan perdamaian.

"Kita meraikan kemerdekaan, kita menghormati pejuang-pejuang kemerdekaan dan kita meluhuri persatuan, bukan perceraian dan ia tentu sahaja kita mahu bahawasanya segala apa yang berada di bumi kita ini dinikmati bersama.

"Kita merindukan iklim perdamaian, persatuan. Tidaklah sampai sekarang, sebelum pilihan raya sudah ada Tanda Putera," ujarnya sinis sebelum perbualan kami bertukar kepada hal-hal seputar kesusasteraan dan kehidupan.

Oleh: Hazayani Zakaria

Tiada ulasan: