SPECIAL ADS

21 September 2013

Syed Rosli ibaratkan kepimpinan Pemuda Umno seperti 'warga Bangla'

21 Sep : Seorang daripada calon jawatan Ketua Pemuda Umno memulakan kempennya hari ini dengan mengkritik kepimpinan sedia ada pergerakan itu yang diibaratkannya seperti "warganegara Bangladesh kerana tidak pernah bersekolah di Malaysia".

Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail tanpa menamakan sesiapa, membuat kenyataan itu selepas menyerahkan borang pencalonannya pagi tadi.

Menurutnya, pemimpin pergerakan itu sekarang tidak pernah bersekolah di Malaysia menyebabkan mereka tiada asas dalam memahami perjuangan bangsa.

"Untuk memahami perjuangan bangsa, kita perlu secara asasnya mengalaminya sendiri.

"Jikalau kita tidak pernah membesar dan bersekolah di Malaysia, bagaimana kita hendak faham perjuangan Melayu, agama, bangsa dan negara?

"Di kalangan pemimpin yang ada, mereka tidak bersekolah di Malaysia pun," katanya.

"Dia ibarat macam Bangla datang (ke sini), umur 20 tahun datang Malaysia, nak cerita perjuangan Melayu, dia berjuang apa?

"Dia tak pernah bersekolah di Malaysia pun," katanya kepada pemberita.
Beliau turut mencuri perhatian ramai apabila bersumpah atas nama Allah tidak akan terlibat dengan rasuah sebaik selesai menyerahkan borang pencalonannya.

"Demi Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah, saya bersumpah tidak akan terlibat atau membenarkan amalan rasuah, salahguna kuasa atau politik wang jika saya dipilih sebagai ketua pemuda," katanya kepada pemberita.

Sehingga kini, jawatan ketua pemuda Umno sah akan direbut tiga orang melibatkan penyandang, Khairy Jamaluddin, Akhramsyah Sanusi Junid, dan Syed Rosli.

Seorang lagi yang telah menyatakan hasratnya, Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali masih belum menyerahkan borangnya.

Tiada ulasan: