21 Sep : Proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 akan berlangsung serentak di seluruh negara hari ini, menyaksikan buat pertama kalinya kaedah pemilihan baharu yang lebih telus dan demokratik digunakan parti itu.
Proses penamaan bagi semua jawatan termasuk tiga sayap di peringkat pusat akan diadakan di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur manakala peringkat bahagian termasuk tiga sayap di pejabat Badan Perhubungan Umno negeri masing-masing, bermula 8 pagi hingga 5 petang.
Di peringkat pusat, sebanyak 101 borang pencalonan diambil bagi pertandingan anggota Majlis Tertinggi, pergerakan Wanita (60 borang), Pemuda (116 borang) dan Puteri (41 borang).
Setelah proses penamaan itu selesai, tempoh bertenang selama 72 jam atau tiga hari diadakan sebelum senarai calon layak bertanding diumumkan.
Ia bertujuan membolehkan Jawatankuasa Pemilihan menyemak kelayakan mereka yang ingin bertanding serta memberi ruang kepada mereka untuk menarik diri sekiranya mengubah fikiran.
Proses pemilihan baharu itu ekoran pindaan Perlembagaan parti pada 2009 yang turut memudahkan syarat bertanding dengan hanya perlu menjadi anggota Umno selama tiga tahun dan anggota jawatankuasa bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) selama sepenggal untuk bertanding jawatan MT.
Ini berbeza dengan syarat kuota tertentu yang diperlukan sebelum seseorang boleh bertanding jawatan MT sebelum ini.
Proses pengundian baharu pula memberi kuasa kepada lebih ramai anggota iaitu 146,500 perwakilan dari 191 bahagian itu bertujuan antaranya menghapuskan gejala politik wang.
Pengundian ketiga-tiga sayap peringkat bahagian dan pusat akan diadakan 12 Oktober manakala pengundian peringkat bahagian dan MT pada 19 Oktober.
Perhimpunan Agung Umno 2013 pula akan diadakan di Kuala Lumpur dari 2 hingga 7 Disember.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan