SPECIAL ADS

23 September 2013

Budaya samseng menjelang pemilihan Umno

21 Sep : Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan kejadian pukul yang berlaku pada pemilihan Umno semalam membuktikan siapa sebenarnya mengamalkan budaya samseng.

Jelas beliau jika selama ini Umno menuduh PAS, PKR mahupun DAP yang mengamalkan politik samseng ternyata apa yang berlaku itu menunjukkan sikap sebenar Umno selama ini.

"Apa yang berlaku ini jelas membuktikan mereka mengamalkan budaya politik samseng, selama ini Umno menuduh Pakatan Rakyat tetapi sekarang telah membuktikan perkara yang sebenarnya," jelasnya kepada Harakahdaily.

Ahmad Zamrai yang turut memberitahu, Umno sanggup melakukan apa-apa sahaja demi kuasa sama ada dalam pilihanraya mahupun pemilihan parti mereka sendiri.

Kata beliau, semua maklum bahawa jawatan di dalam Umno merupakan 'lubuk duit' dan mereka yang bertanding akan cuba mengatasi pihak lawan walau dengan apa cara sekali pun.

"Pegang jawatan dalam Umno adalah lubuk duit, masing-masing berebut nakkan jawatan dan inilah peluang untuk penuhkan poket.

"Jadi untuk dapatkan jawatan maka pelbagai perkara dilakukan termasuk samseng, ugut mahupun beli undi," kata beliau lagi.

Beliau yang juga calon PAS Parlimen Titiwangsa pada PRU13 lalu berkata, demokrasi di dalam Umno sudah lama terkubur.

Malah katanya, orang Umno percaya bahawa pemilihan secara demokrasi akan menyempitkan ruang mereka untuk memegang jawatan.

Sebelum itu, Seorang calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini mendedahkan kisah sebenar berhubung dakwaan beliau ketika menghantar borang pencalonan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Mohd Ariff Abdul Aziz, 57, yang merupakan calon ke-24 MT itu berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 2 petang ketika beliau berjalan kaki menuju ke PWTC untuk hantar borang calon Ketua Bahagian Titiwangsa.

Beliau mendakwa dicekik, ditendang dan pukul di dada, ketika sedang berjalan dari Wisma Perkim menuju ke Dewan Tun Razak.

Tiada ulasan: