SPECIAL ADS

27 September 2013

Senang-senang kerajaan mahukan RM14 bilion lagi

27 Sep : BERCAKAP di San Francisco pada 24 September  lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd  Najib Razak mahu rasuah menjadi sebahagian daripada sejarah silam Malaysia dan bukannya amalan masa depan.

Tidak ada salahnya idea seperti itu.  Sebaliknya ia adalah satu idea baik, bernas dan pasti menyelamatkan banyak wang awam dari disambar para buaya lapar yang semakin banyak berkeliaran dalam komuniti kontrak pembinaan, perkhidmatan dan perolehan membabitkan wang awam.

Begitupun, sejarah menunjukkan idea seperti itu cukup bersifat retorik, jarang diimplementasikan sepenuhnya (dibaca sekadar batuk ditangga) dan sudah menjadi modal piawaian Perdana Menteri Malaysia sejak beberapa dekad lagi

Hal seperti ini menimbulkan  tanggapan umum betapa selagi amalan rasuah berterusan maka selagi itulah ia boleh dipergunakan oleh pemimpin kerajaan Umno-BN peringkat tertinggi untuk mempamerkan betapa serius dan ikhlasnya kerajaan mahu memerangi rasuah.

Rasuah wujud dalam bentuk ketara dan tidak ketara.  Rasuah berbentuk ketara adalah ketara – bagi sekian banyak dapat itu dan ini.  Rasuah (juga bermaksud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa) jenis tidak ketara barangkali lebih signifikan jumlahnya berbanding dengan rasuah ketara.

Apabila rakyat sendiri dirasuah dengan pelbagai pemberian one-off (sekali gus);  dijanjikan pelbagai projek bidan terjun menjelang pilihan raya umum dan pilihan raya kecil dan janji tersebut ditunaikan sebagai habuan memilih parti kerajaan; kontrak mega dan bukan-mega kerajaan dianugerahkan kepada pihak tertentu secara rundingan terus tanpa apa juga bentuk ketelusan; maka  amalan seperti ini ‘memakan’ dana awam baik dari sumber Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan ataupun Negeri, menjadikan peruntukan bajet dan memaksakan kedudukan kewangan kerajaan mendaftar angka ‘merah’.

Hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada 53.3 peratus dari KDNK pada akhir tahun fiskal 2012, bertokok dari 51.6 peratus pada akhir 2011 atau 39.8 peratus pada akhir 2008 tatkala Abdullah Badawi masih menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Defisit am bajet kerajaan Persekutuan pula, sebagaimana yang dikira oleh agensi perkadaran Fitch meluas kepada 4.7 peratus dari KDNK untuk 2012 berbanding 3.8 peratus pada 2011.

Pada 24 September, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan telah membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan bagi jumlah RM14.12 bilion.

Rang Undang-Undang ini sekiranya diluluskan bakal menyaksikan Jabatan Perbendaharaan mendapat peruntukan terbanyak iaitu  RM11.854 bilion untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan dan RM606.9 juta untuk kegunaan Jabatan itu sendiri.

Sukar untuk dipastikan sama ada peruntukan tambahan sebegini besar adalah berpunca dari kesilapan menyediakan bajet atau timbul dari pemberian berbentuk janji pemimpin politik kerajaan yang tidak termasuk dalam bajet 2013 ketika dibentangkan pada November 2012.

Sekiranya ia merupakan kesilapan menyediakan bajet, maka ralat 5.6 peratus dari angka asal bajet, RM251.6 bilion sudah tentu merupakan satu ralat besar dan mencerminkan ketidakefisien pihak yang menyediakan bajet tersebut.

Namun apapun punca berlakunya ralat tersebut (sekiranya ia benar-benar merupakan kesilapan), rakyat sudah tentu ingin mengetahui apakah perbelanjaan-perbelanjaan yang dilonggokkan ke dalam butiran Perkhidmatan Am Perbendaharaan sehingga angkanya mencecah lebih daripada RM11 bilion?  Jika perbelanjaan tersebut merupakan perbelanjaan luar jangka mengapa tidak sahaja peruntukan luar jangka digunakan bagi menampungnya?

Lebih pelik lagi mengapakah Perbendaharan sendiri memerlukan pertambahan sebanyak itu sedangkan perkhidmatan penting lain bakal menerima jumlah lebih kecil sekiranya Rang Undang-Undang tersebut diluluskan – Kementerian Pendidikan, RM322.8 juta; Kementerian Kesihatan, RM300 juta, Kementerian Pertahanan RM239 juta, dan Kementerian Dalam Negeri RM205.1 juta.

Oleh: Shirzad Lifeboat

Tiada ulasan: