SPECIAL ADS

23 September 2013

FGVH: Mana peruntukan untuk tanam semula

23 Sep : Penasihat Ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaakop mempersoalkan tindakan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang tidak meletakkan satu peruntukan khas bagi aktiviti tanam semula kepada peneroka.

Beliau berkata, penyenaraian FGVH setahun yang lepas menyaksikan syarikat tersebut memperolehi pendapatan sebanyak RM4.4 bilion.

Namun katanya lagi, wang tersebut hanya dibelanjakan untuk membeli aset perladangan dan juga terlibat dalam perhotelan.

"FGVH disenaraikan pada jun 2012 dan menjadi sebuah syarikat yang kaya dengan pendapatan tunai, walaupaun penyenaraian itu menjana lebih kurang RM10 bilion tetapi FGVH memperolehi sebanyak RM4.4 bilion, satu angka yang besar.

"Walaupun angka itu agak besar kita tidak melihat satu sen pun peruntukan diberikan bagi aktiviti tanam semula dan ini akan menimbulkan masalah kepada Felda pada masa akan datang," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Menurut beliau, Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebelum ini mengumumkan pendapatan tersebut akan dibelanjakan untuk pembelian aset-aset perladangan dan juga mengembangkan industri hiliran yang membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM4.4 bilion.

Katanya lagi, FGVH sebelum itu turut menjual kepentingannya di dalam Tredewinds pada harga RM9.30 seunit yang memperolehi pendapatan tambahan sebanyak RM550 juta.

"Sebanyak RM550 juta dana tambahan diperolehi tetapi dana tersebut telah dibelanjakan untuk memberi service apartmen di Bayswater, London yang berharga hampir RM500 juta.

"Bulan lalu Felda menguasai saham Idris Corp Bhd pada kos RM110 juta.  Dan sebelum itu, Felda juga telah membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu.

"Ini bermakna kesemua dana yang diperolehi melalui penyenaraian dan penjualan saham telah habis dibelanja, tiada satu pun kita lihat peruntukan khas diberikan untuk tanah semula ataupun kebajikan kepada peneroka," sambung beliau.

Dr Rosli yang berpendapat matlamat asal penubuhan Felda untuk menaiktaraf golongan bumiputera telah jauh menyeleweng apabila Felda lebih berminat dalam bidang perhotelan daripada menumpukan terus kepada hala tuju peneroka pada masa akan datang.

Jelasnya lagi, sebelum ini pihak pengurusan Felda mengatakan penyenaraian tersebut bagi menjamin kebajikan peneroka melalui peruntukan khas, namun perkara itu tidak berlaku seperti mana yang dijanjikan.

Tiada ulasan: