SPECIAL ADS

17 September 2013

Kes 533 peneroka Bera saman Felda ditangguh

17 Sep :  Kes saman 533 peneroka dari Felda Gugusan Bera yang menuntut pihak Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi hasil penjualan sawit mereka sejak tahun 1995, hari ini ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal. 

Peguam bagi pihak peneroka Nasar Mirbas Khan berkata, hakim di Mahkamah Tinggi Temerloh mengarahkan pihaknya mendapatkan rekod jualan sawit semua peneroka kepada kilang-kilang Felda atau pihak ketiga.

“Hakim hari ini mengarahkan plaintif menyiapkan rekod jualan mereka bagi dibandingkan rekod dengan rekod yang disimpan di kilang Felda.

“Mahkamah memberi tempoh seminggu dan minggu kes ini akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk pengurusan kes. Selepas itu baru akan ditetapkan tarikh perbicaraan seterusnya,” katanya dalam sidang media.

Turut hadir, seorang lagi peguam bagi pihak peneroka Mohamed Hanipa Maidin, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman serta para peneroka.

Pada 20 September tahun lalu 533 peneroka dari 9 Tanah Rancangan Felda Gugusan Bera telah memfailkan writ tuntutan tersebut di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Nasar Khan berkata, tuntutan peneroka ialah berkaitan kadar perahan gred (KPG) yang dibayar kepada peneroka dengan terdapat unsur penipuan kerana lebih rendah daripada gred sebenar.

“Selain daripada itu peneroka juga menuntut wang isi rong sawit, tandan yang ditolak tetapi diproses, keladak minyak dan abu tandan sawit yang semuanya mempunyai nilai tetapi tidak dibayar atau dikembalikan oleh Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan.

“Untuk tahun 2008 sahaja, kerugian yang dialami peneroka kerana tidak dibayar hasil yang disebutkan ialah RM19 juta dan tuntutan bermula sejak tahun 1995. Jadi kita jangka peneroka sepatutnya dibayar sekitar RM300 juta lagi,” katanya.

Sebelum ini, peneroka-peneroka Felda Kemahang dan Sungai Koyan telahpun memenangi kes saman melibatkan isu yang sama.

Tiada ulasan: