SPECIAL ADS

11 September 2013

Mencari pemimpin bangsa Melayu bukan pemimpin Umno

12 Sep : Kenapa seorang ahli DAP berminat untuk tahu kepimpinan jenis apa yang akan muncul dalam pemilihan Umno yang akan datang nanti?
Walaupun DAP, saya orang Melayu dan mana-mana pihak yang mendakwa mereka mewakili kepentingan Melayu, mestilah kita kena periksa dahulu. Pada peringkat peribadi juga, saya tidak akan terima dakwaan yang tidak disokong penghujahan. Pembaca upahan pegawai  Najib yang ptui sana dan ptui sini, tidak perlu buang masa dengan saya.  Saya hanya simpati dengan mereka yang terpaksa membaca apa yang saya tulis dan mengambil masa lama untuk faham apa yang ditulis. Saya sudah lali dengan cemuhan seperti ini yang datang daripada pembaca kualiti ludahan dan kahak.
Kita hendak lihat dan kaji akan kesahihan dakwaan tersebut atau ia omongan kosong orang yang gila kuasa. Sebab pemilihan itu akan menentukan kualiti kepimpinan akan datang yang akan mentadbir negara ini seketika mereka berkuasa. Kerajaan pimpinan Umno ialah sebuah kerajaan seketika ini -government for the time being dan akan bertukar  apabila rakyat meluat kepada mereka.
Masanya akan tiba - sekarang ini bukan Melayu rata-rata menolak Umno dan BN bukan sebab mereka Melayu. Perasaan seperti itu tentu ada tidak syak lagi - tetapi sebab penolakan yang lebih besar ialah kerajaan gagal mengurus dan mentadbir negara dengan baik. Orang Melayu pun semakin ramai menolak Umno. Yang menyelamatkan Umno kepada saya dua perkara; (1) Umno terus menyogok dan merasuah rakyat dengan wang Ringgit terutama orang Melayu yang hidup susah dan (2) Umno melaga-lagakan bukan Melayu dengan Melayu.
Seterusnya , kita hendak lihat pemimpin Melayu jenis apa yang Umno tawarkan kepada orang Melayu? Dan mana tahu, jika kepimpinan yang muncul itu serasi dengan prinsip perjuangan sejagat, DAP boleh berkerjasama dengan Umno untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.  Kalau orang Umno tidak faham dan tahu, itu pun matlamat kita - bukan untuk mengekal tahap pencapaian yang sedia ada tapi meningkatkannya. Jika tidak mampu meningkatkan, kepimpinan yang ada mesti diganti.
Pentadbiran Najib mesti dinilai daripada sudut ini sahaja. Berjayakah Najib membaiki standard kita? Kalau tidak, Najib mesti diganti. Tidak perlu sentimental terhadap ikatan dengan Najib. Terutama orang Pahang. Bodohlah orang Pahang jika bersetia kepada Najib hanya semata-mata dia orang Pahang dan orang berlumb berpentesan kaki memuji dan memuja Najib. Ia bukan macam dunia akan kiamat untuk orang Pahang jika Najib bukan PM.
Umno kena ingat bahawa bukan semua orang Melayu menyokong Umno. Majoriti tidak menyokong mereka walaupun Umno tipu sana dan sini menyatakan sokongan Melayu meningkat semasa PRU13 baru-baru ini. Kemukakan faktanya jika betul.
Maka minat kita ialah untuk melihat sama ada Umno sebagai parti terkanan yang menjadi tonggak kerajaan serius menjadi pemerintah untuk SEMUA rakyat. Oang Melayu ada hak. Orang bukan Melayu pun ada hak sebagai rakyat Malaysia.
Selama ia menjadi pentadbiran untuk semua rakyat, semua bangsa di negara ini boleh berkongsi matlamat yang sama.
Beberapa minggu yang lalu, kita lihat pertubuhan Perkasa censure ketua pemuda mereka sendiri kerana menyaran supaya Najib berhenti dari jawatan PM. Apa salah dia menyatakan pandangan peribadinya?
Ini menunjukkan karakter sebenar Perkasa iaitu sebuah pertubuhan yang lebih jadi budak suruhan Umno yang bercakap konon atas kepentingan bangsa Melayu. Ibrahim Ali pernah kata kepada kita orang Pekan, kalau dia di Pekan, maka habis Najib diharuknya.
Siapa yang mengangkat mereka jadi juruacara orang Melayu dan siapa beri mereka otoriti menentukan apa orang Melayu hendak atau tidak? Bagaimana mereka mengaku mewakili silent majority Melayu kalau majoritu itu silent?
Kedua, apa masaalah dengan menyuruh Najib berhenti dari PM? Jika Najib tidak ada kemampuan mentadbir negara ini, kita mahu sentmental mahu mengekalkan Najib, apahal? Benarlah pengajaran dari sejarah bahawa jika seorang pemimpin itu fatuous atau pandir, dia akan menghimpun dan mengelilingi dirinya dengan pengampu dan pembodek.
Mereka akan berusaha mendekatkan diri dengan Najib semata-mata mahukan kedudukan dan kekayaan. Najib pula akan melantik mereka yang mempunyai jalinan sokongan atau connections dan bukan orang yang mempunyai bakat atau talent. Orang pandir memerlukan sokongan pembodek dan pengampu.
Berapa ramaikah mereka yang begini dalam kabinet Najib dan dalam jaringan kuasa Umno? Terlalu ramai sebab itu negara kita berdepan dengan kesengsaraan.
Satu lagi perkara yang orang Melayu mesti nilai ialah tulisan Awang Selamat menasihatkan Tengku Razaleigh Hamzah melupakan hasrat untuk berlawan dengan Najib, jika hasrat itu ada. Siapa Awang Selamat mahu nasihatkan Tengku Razaleigh?
Walhal, orang Melayu memerlukan apa yang ada pada Tengku Razaleigh kalau mereka mahu selamat dan makmur, bukan apa yang ada pada Najib. Orang yang tidak ada bakat dan tidak ada keberanian akan hanya membawa malang kepada negara ini.
Kemudian kita lihat pula pembodek nombor satu Adnan Mansor mengistiharkan bahawa Razaleigh tidak akan menentang Najib. Jika tidak ada angin, mana mungkin pokok bergoyang, jika tidak ada gerakan mahukan Tengku Razaleigh bertanding persiden Umno, mengapa mesti Utusan Malaysia dan Adnan Mansor menyanyikan lagu yang sama? Bahkan inilah masanya perwakilan Umno dari cawangan ke bahagian menyokong Tengku Razaleigh jika dia menawarkan diri menjadi pemimpin Umno dan bangsa Melayu. Yang penting ialah pemimpin untuk bangsa Melayu.
Apa negara ini perlukan, dan ini menarik minat kita juga ialah pimpinan yang mentadbir dengan ehsan dan righteousness . mungkin istilah bahasa Melayu yang paling hampir dengan rightesouness ialah benar arau siddiq.
Rekod Tengku Razaleigh menunjukkan dia ada kualiti ini lebih daripada Najib.
Apa yang Najib lakukan? Selain mengisytiharkan itu dan ini , projek itu dan ini, megapakah credit rating negara kita menjadi teruk? Dan bila penilaian kredit kita tidak menyenangkan, ada pegawai tinggi kementerian kewangan berkata, ini analisa budak yang tidak tahu apa kerajaan mahu. Pegawai yang berkata demikian, adakah dia sendiri mempunyai kelayakan yang tinggi atau PhD.  Dia hanya kerana menulis pengalaman kerjanya sahaja dan kelayakan masuk universiti untuk buat  PhD.  Kerana dia berkerja jawatan kerajaan? Janganlah kita memperkecilkan analisa ekonomi dari luar kerana analisa itu tidak menyenangkan kita.
Negara kita di bawah Najib menuju kepada kejatuhan ekonomi. Bankrap tidaklah, kerana bank Negara boleh sahaja mencetak mata wang. Kalau Najib terus diberi kuasa mentadbir negara ini, Malaysia akan jadi republik pisang.
Kebelakangan ini apa yang kita lihat? Najib tidak ada kapasiti langsung menyekat ekstremism agama. Adakah Najib mahu Malaysia menjadi negara Islam yang mundur yang kerajaan mereka menzalimi rakyat sendiri dengan mengekalkan mereka dalam kemunduran dan kemiskinan? Suka atau tidak kita terimanya, 80% negara yang berada di bawah pemerintah orang Islam yang beku pemikiran berada dalam tahap kemunduran dan kemiskinan.
Seolah olah jika tidak mundur iaitu maju dan tidak miskin iaitu kaya, maka tahap keislaman akan turun?  Tidakkah kita melihat pengajaran didepan mata kita sekarang? Dalam kalangan Melayu yang berjaya dan berpendapatan tinggi yang tingal dalam taman perumahan mewah, kecenderungan agama semakin meningkat.
Suatu ketika dahulu saya beranggapan, orang Melayu yang kaya tidak akan mengendahkan hal keagamaan. Ternyata tanggapan saya salah kerana saya melihat kecenderungan beragama di kalangan orang Melayu yang bertambah senang tidak menurun bahkan semakin mantap. Di kalangan orang Melayu yang membaiki tahap hidup dari kemiskikan, kecenderungan beragama tidak luntur. Seballiknya, di kalangan masyarakat Melayu yang miskin bukan tardisional, mereka lah kita berdepan dengan masalah.
Pandangan kita orang Melayu dipesong oleh Umno untuk menyibukkan diri dengan isu yang tidak menguntungkan. Mengapa kita membesar-besarkan perbalahan sunnah dengan syiah? Saya menulis kalau demikian, kerajaan keluarkan fatwa mengatakan Syiah itu kafir.
Jika bukan kafir mengapa penzaliman dan tindakan keras mahu dikenakan ke atas mereka? Setelah orang Melayu disuruh berkelahi dengan syiah, selepas ini apa? Wahhabi pula? Kalau demikian, elok sahaja Malaysia memutuskan hubungan dengan Iran yang syiah dan negara Islam lain yang syiah dan setelah itu, haramkan semua orang Malaysia naik Haji kerana Makkah itu dikuasai oleh Wahabi.
Kita akan bersambung cerita lagi. 
- sakmongkol.blogspot.com

Tiada ulasan: