SPECIAL ADS

17 September 2013

Mukhriz terima lampu hijau bertanding Naib Presiden Umno

18 Sep : Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) menerima sokongan sebulat suara daripada pemimpin Umno bahagian di peringkat negeri untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti Melayu terbesar itu pada Oktober ini.
Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat menteri besar Kedah itu dengan pemimpin bahagian malam tadi.
“InsyaAllah, saya akan membuat pengumuman pada Khamis,” kata Mukriz kepada pemberita.
Mukhriz ialah anak kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
The Malaysian Insider melaporkan semalam beberapa hari lalu, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menghantar risikan kepada perwakilan parti dan broker kuasa: beliau lebih suka barisan naib presiden Umno sedia ada dikembalikan pada pemilihan parti akan datang.
Perancangan kemas untuk membantu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk kekal dalam jawatan nampaknya sedikit kacau dengan keputusan Mukhriz  malam tadi untuk bertanding merebut salah satu ruang dalam tiga jawatan naib presiden itu.
Beberapa minggu lalu, blogger pro Dr Mahathir kerap menulis mengenai peluang Mukhriz untuk mendapatkan tempat di antara tiga jawatan naib presiden – yang dilihat sebagai satu langkah hampir untuk berada di puncak kepimpinan parti.
Mukhriz, 48, dilantik sebagai menteri besar Kedah selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam pada pilihan raya umum 5 Mei lalu dan blogger pro-Umno berpendapat beliau patut merebut peluang untuk mencuba nasib mendapatkan jawatan naib presiden atau beliau akan hilang senioriti kepada pemimpin akan datang.
Antara pencabar lain merebut jawatan naib presiden ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam, walaupun mereka dikatakan ditawarkan kedudukan senator dan jawatan korporat yang menguntungkan jika menarik diri daripada perlawanan itu.
Ali disingkirkan daripada perebutan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti pada 2009 selepas didakwa terbabit dengan politik wang.
Dr Mahathir bercakap mengenai keperluan parti terhadap pemimpin muda sebagai pembaharuan parti, dan ini dilihat sebagai pesanan kepada veteran parti untuk membenarkan Mukhriz dan mereka  yang berada dalam lingkungan usianya diberikan peluang mendaki dalam kepimpinan parti.
Difahamkan juga Najib turut bercakap mengenai pembaharuan dan keperluan pemimpin muda diberi peluang dalam parti walaupun beliau sendiri memberikan sokongan secara senyap kepada pemimpin seperti Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk terus berada dalam jawatan parti.
Sumber dalaman parti berkata, perlawanan merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) juga hangat kerana ia dilihat sebagai batu lonjakan kepada jawatan lebih tinggi dan juga dapat menjadi pengaruh kepada keputusan parti sebelum pilihan raya umum akan datang. 

Tiada ulasan: