SPECIAL ADS

12 September 2013

“Syiah tetap Islam” menular di Facebook

Laman Facebook Syiah Tetap Islam.
12 Sep : “Syiah Tetap Islam”, “I'm Proud to be Syiah in Malaysia”, antara nama akaun yang digunakan dalam laman sosial Facebook yang dikatakan digunakan bagi mengembangkan fahaman itu kepada golongan belia.
Akaun Facebook “I'm Proud to be Syiah in Malaysia”, mendapat 1,085 likes itu antara lain mendedahkan mengenai fahaman dan kegiatan mazhab itu serta perbezaan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.
Lebih dari itu dalam akaun “Syiah Tetap Islam “ turut memaparkan beberapa kritikan seperti ,“Abu Hurairah sering menjadi saksi pelapor dari suatu kejadian (sejarah dan lain-lain) padahal dia tidak hadir ditempat tersebut” tulis laman Facebook itu merujuk kepada penulis hadis rujukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Selain di Malaysia, akaun tersebut turut dihubungkan kepada negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Brunei.
Pengarah Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ismail Ishak berkata, tidak dinafikan pihak berkenaan cuba menggunakan laman sosial sebagai dakwah kepada orang ramai biarpun Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan Syiah adalah haram.
“Keputusan itu juga menetapkan sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah haram.
“Oleh itu, perkara ini tidak boleh dibiarkan berleluasa dan perlu tindakan tegas pihak berkuasa,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Menurutnya, penularan itu bukan sahaja boleh menggugat golongan belia yang sering melayari laman sosial, malah boleh mengancam akidah umat Islam lain tanpa mengira pangkat, umur dan jantina.

Bagaimanapun Menteri di jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini berkata, penganut ajaran Syiah di negara ini tidak mempunyai halangan mengamalkan mazhab itu cuma dihalang untuk menyebarkannya kepada orang ramai.
Kenyataan beliau itu kemudiannya dinafikan apabila mendakwa media telah memberi gambaran yang salah terhadap apa yang diperjelaskan mengenai Syiah.
Isu Syiah turut mendapat reaksi Mufti Wilayah Persekutuan Wan Zahidi Wan Teh apabila menekankan ajaran Syiah lebih berbahaya berbanding fahaman Komunis dalam satu forum bertajuk Mendepani Virus Syiah di Dewan Muktamar, Pusat Islam minggu lalu.
Malah mufti tersebut turut menggesa kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara yang mempunyai majoriti penganut mazhab itu.
Namun gesaan itu ditolak Datuk Seri Anifah Aman dengan berkata Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Republik Islam Iran yang sudah terjalin sekian lama.
Menurut Menteri Luar itu, kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran yang merupakan rakan penting bagi Malaysia adalah tidak wajar serta tidak berasas.
Menurut Anifah dalam satu kenyataan malam tadi, perkara dibincangkan merupakan isu domestik yang perlu ditangani pihak berkuasa di negara ini

Tiada ulasan: