SPECIAL ADS

17 September 2013

Masyarakat sudah muak dengan Umno? Pemilihan Oktober jadi penentu

17 Sep : Secara peribadi, saya terkejut apabila kenyataan saya berhubung ‘Masyarakat Sudah Muak Dengan Umno’ yang disiarkan portal berita The Malaysian Insider’ mendapat pelbagai reaksi daripada pimpinan tertinggi Umno.
Terus terang saya katakan bahawa saya menerima segala reaksi berkenaan sama ada yang menyelar atau menyokong kenyataan itu dengan hati terbuka, kerana ciri-ciri itu perlu ada pada semua pemimpin iaitu menerima kritikan dengan hati terbuka dan tidak cepat melatah.
Saya juga tidak menyangka penawaran diri sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada kali ini, penuh kontroversi, keadaan yang sama ketika menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden dalam pemilihan parti 2008, sehingga ada yang melabel saya sebagai ‘joker’.
Mungkin kenyataan itu ada menyentak pemimpin Umno itu bangun dari tidur selepas dibuai  mimpi indah apabila  parti memenangi kerusi paling banyak dalam PRU 13 lalu, peningkatan berbanding PRU 12 walaupun hakikatnya, prestasi BN lebih buruk daripada pilihan raya umum 2008.
Walaupun, Umno sebagai sebuah parti  memenangi kerusi paling besar dalam PRU 13, tetapi berapa kerusi yang dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi, berapa undi popular yang Umno perolehi dan berapa banyak kerusi bandar yang Umno menangi?
Justeru, apabila saya menyatakan bahawa masyarakat sudah muak dengan Umno, saya berpegang pada satu fakta bahawa rakyat sudah lama memerhatikan kita dan mereka masih menanti perubahan yang mahu dilakukan parti.
Sebagai sebuah parti yang menjadi tulang belakang kepada BN yang membentuk kerajaan, Umno tidak boleh hanya berjuang semata-mata untuk satu kaum sahaja, walaupun asas penubuhan Umno adalah untuk kaum Melayu.
Tetapi sejak penubuhannya, Umno tetap tidak pernah mengabaikan mana-mana kaum di negara ini, selari dengan asas Perlembagaan Negara dan ia terbukti apabila semua kaum mendapat manfaat daripada pelbagai dasar serta insentif kerajaan.
Tinjauan sebuah badan bebas, Merdeka Center dalam PRU 13 baru-baru ini, mendapati sokongan orang Melayu pada Umno sekitar 61 peratus tetapi ia dijangka menurun pada PRU 14, kepada 58 peratus.
Jadi, adakah ahli dan pimpinan parti akan berpeluk tubuh dan tidak mengambil sebarang tindakan bagi meningkatkan sokongan serta keyakinan orang Melayu kepada Umno dan bagaimana pula dengan kaum lain?
Di saat parti komponen utama BN seperti MCA dan Gerakan berada dalam keadaan ‘hidup segan mati tidak mahu’, Umno perlu mengambil tindakan drastik dalam mengembalikan semula sokongan masyarakat bukan sekadar orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.
Bukan menidakkan sokongan daripada parti komponen lain dalam BN, PRU 13 memberikan isyarat jelas bahawa Umno dan parti PBB dari Sarawak berjaya memastikan BN terus memerintah negara.
Kekuatan BN sebelum ini, terletak kepada kekuatan Umno dan komponen BN di Semenanjung. Kalau dulu Umno dan komponen BN memenangi lebih banyak kerusi di Semenanjung yang mendorong komponen Umno dan BN di Sabah dan Sarawak untuk mendokong Umno secara automatik .
Tetapi, keadaan pasti berubah jika parti komponen Sabah dan Sarawak menilai dan memikirkan semula untuk memberikan sokongan tanpa soal kepada Umno dan BN yang mempunyai bilangan kerusi yang lebih kurang dibandingkan dengan pembangkang di Semenanjung.
Justeru, kita sebagai ahli Umno perlu berlapang dada bertanya adakah Umno dalam perubahan lanskap masyarakat Malaysia yang amat kritikal terhadap masa depan negara.
Pembangkang  terus memalu gendang bahawa mereka popular di kalangan rakyat apabila mendapat undi popular melebihi daripada BN dan itu adalah fakta yang tidak boleh disangkal.
Jadi, apakah petunjuk terhadap fakta berkenaan? Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu, tetapi cukup menyatakan bahawa Umno perlu sedar dan perlu berubah jika kita mahu masyarakat berdamping semula dengan kita.
Sebagai anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno, saya sedar betapa perit dan jerihnya arwah ayahanda saya bertungkus lumus menghidupkan semula parti apabila diharamkan pada 1988.
Mengembalikan sokongan semua ahli satu perkara yang bukan mudah tetapi mendapatkan semula kepercayaan rakyat adalah tugas yang paling sukar.
Presiden parti sendiri, YAB Datuk Seri Najib Razak sudah berbuih mulut menyatakan bahawa perlunya orang muda diberikan peluang untuk menerajui parti.
Malah, saya masih ingat lagi ucapan Datuk Seri Najib dalam Perhimpunan Agung parti tahun lalu, bahawa beliau akan mengubah Umno sekiranya, BN diberi mandat untuk terus memimpin kerajaan.
Kini, rakyat sudah memberikan mandat dalam PRU 13, dan mereka mahu lihat keberanian Umno untuk berubah, tetapi apa bentuk perubahan yang perlu ditunjukkan parti.
Adakah perubahan daripada segi kosmetik atau satu perubahan drastik akan dibuat kira-kira 150,000 perwakilan Umno memilih pucuk pimpinan parti sebagai  persediaan menghadapi PRU 14.
Jangan kita terlalu selesa dan leka, pembangkang terutamanya DAP sudah merencana pelbagai strategi untuk menawan masyarakat luar bandar dan mereka sudah bermula di Sarawak.
Ia bermakna ’serangan’ terhadap deposit tetap Umno dan BN iaitu masyarakat luar bandar kini, sudah terancam, jadi adakah kita sudah bersedia untuk menangkis segala serangan ini.
Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa  Umno pada waktu ini,  merangka strategi pilihan raya berdasarkan jejak pembangkang.  Pembangkang sentiasa merangka strategi ke hadapan dan bersedia untuk pilihan raya seterusnya tetapi  Umno sentiasa berada satu langkah ke belakang.
Kalau kita mahu memenangi  PRU  14 , Umno  mesti menjangka suasana politik PRU 15, barulah kita akan merancang dan melaksana strategi yang mendahului pembangkang untuk PRU 14.
Kegagalan merencanakan strategi pilihan raya yang betul tanpa menilai medan ‘peperangan’ yang berubah menyebabkan Umno bertindak secara defensif.
Dalam PRU 13,  pembangkang  meluaskan kawasan Parlimen yang ditawan dari bandar ke pinggir  bandar dan menolak Umno ke kawasan luar bandar . Persoalannya adalah sama ada Umno boleh menawan semula kawasan pinggir  bandar dan menawan kerusi Parlimen di kawasan bandar?
Saya bukanlah mahu mencari publisiti murahan dengan membuat kenyataan kontroversi seiring dengan penawaran diri sebagai Ahli MT Umno dalam pemilihan Oktober ini.
Bagi saya kalah atau menang adat pertandingan, tetapi siapa yang akan menang dalam pemilihan Umno kali ini, perlu bertawaduk dan bersedia menghadapi realiti sebenar perubahan masyarakat terutama sekali orang Melayu di negara ini.
Bilangan orang Melayu di kawasan luar bandar semakin mengecil yang tinggal hanyalah warga emas, dan makin ramai yang berpindah ke kawasan pinggir bandar dan bandar.
Golongan ini yang amat krtikal terhadap Umno, mereka tidak hanya berpegang pada sentimen sejarah untuk menyokong Umno, mereka mahu sebuah parti yang memahami denyut nadi serta permasalahan yang dihadapi sekaligus membela nasib mereka.
Perubahan demografi penduduk Melayu ini, perlu segera difahami oleh Umno, jika tidak kita mencari ‘nahas’ dalam PRU 14.
Saya menyedari bahawa Datuk Seri Najib memerlukan jentera terbaik beliau dalam Umno dalam mengembleng usaha menawan kembali sokongan orang Melayu di kawasan ini.
Terserahlah kepada 150,000 perwakilan Umno yang buat pertama kalinya, akan memilih pimpinan Umno dalam proses yang paling telus dilakukan parti selama 67 tahun penubuhannya.
Ingatlah bahawa pemilihan Umno kali ini, adalah persediaan paling utama dalam menghadapi ‘perang’ PRU 14, jika Umno tidak mempunyai pimpinan berkaliber yang mampu menarik minat masyarakat kepada parti, kita akan berdepan masalah besar dalam PRU 14 kelak. – jazlan.net, 17 September, 2013. TMI
* Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah Pengerusi Jawatankuasa Negara (PAC), Ahli Parlimen Pulai dan Akauntan Bertauliah.

Tiada ulasan: