28 Sep : SUARAM menolak sebarang penggubalan atau pindaan undang-undang yang mengandungi elemen tahan tanpa bicara. Bermula dengan penggubalan SOSMA yang masih menjadi pertikaian banyak pihak, kini kerajaan sekali lagi mengambil langkah ke belakang apabila memasukkan elemen tahan tanpa bicara dalam pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah 1959. Keadaan ini menjadikan hak asasi rakyat Malaysia terus diperjudikan oleh Kerajaan. Cadangan pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah menjadi akta tersebut tidak ubah seperiti gabungan tiga akta drakonian iaitu SOSMA, ISA dan EO.
Menteri berbohong, pindaan dibuat tanpa konsultasi yang menyeluruh
SUARAM mempersoalkan ketulusan Menteri Dalam Negeri dalam menyiapkan draf pindaan Akta Pencegahan Jenayah. Sekiranya benar pihak menteri ingin menghasilkan satu undang-undang yang memberi manfaat kepada semua pihak, maka draf tersebut sepatutnya dibuat dengan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak. Namun setakat maklumat yang diterima oleh pihak SUARAM, draf tersebut langsung tidak melalui proses konsultasi yang menyeluruh termasuk tidak diperbincangkan dengan Majlis Peguam.
Perkara ini bercanggah dengan kenyataan beliau yang disiarkan Malaysiakini pada 6 julai lalu sebagai berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk NGO dan Parti Pembangkang bagi memperkemas sebarang undang-undang baru yang akan diperkenalkan.
SUARAM menyifatkan tindakan membentangkan pindaan Akta Pencegahan Jenayah di parlimen tanpa konsultasi yang menyeluruh merupakan satu pengkhianatan dan pembohongan menteri terhadap rakyat.
Janji Perdana Menteri hanya tinggal janji
Pada 15 September 2011, semasa mengumumkan pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat, Perdana Menteri memberi jaminan tidak akan ada lagi undang-undang yang membenarkan tahanan lanjutan. Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa sebarang undang-undang baru yang akan digubal akan tertakluk sepenuhnya dibawah kuasa mahkamah.
Namun dalam cadangan pindaan terbaru Akta Pencegahan jenayah, terdapat peruntukan yang membenarkan seseorang itu dikenakan tahanan lanjutan sehingga dua tahun. Lebih menyedihkan apabila kuasa untuk mengenakan tahanan lanjutan itu terletak dibawah kuasa sebuah Lembaga Khas dan bukannya Mahkamah.
Walaupun ahli Panel Lembaga Khas itu akan dianggotai oleh Hakim samada dari Mahkamah Persekutuan, Rayuan atau Mahkamah Tinggi, namun seorang Hakim tidak memiliki sebarang kuasa untuk menjatuhkan sebarang hukuman ke atas mana-mana individu diluar mahkamah. Turut menjadi persolan ialah bagaimana proses lantikan panel Lembaga itu dibuat?. Apakah Lembaga ini akan benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif?
Peguam Negara perlu nyatakan pendirian jelas
SUARAM juga menuntut Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyatakan pendirian jelas mengenai pindaan terbaru Akta Pencegahan Jenayah ini. Peguam Negara sebelum ini dengan tegas mengatakan negara kita sudah tidak memerlukan undang-undang tahan tanpa bicara seperti EO dan ISA. Peguam Negara juga seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider bertarikh 25 ogos 2013 sebagai berkata, EO tidak akan menyelesaikan masalah jenayah tetapi Polis sudah ketagih untuk menggunakan EO.
Maka SUARAM ingin bertanya pendirian terkini Peguam Negara mengenai hal ini. Jika benar Tan Sri Abdul Gani Patail jujur dalam membela kepentingan hak asasi rakyat, maka beliau perlu menyatakan dengan tegas bahawa tindakan meminda Akta Pencegahan Jenayah merupakan satu kesilapan.
Cegah jenayah penting, tapi bukan dengan tahan tanpa bicara
SUARAM menyatakan pendirian jelas bahawa SUARAM menyokong sebarang usaha bagi mengekang kejadian jenayah yang semakin meruncing di negara ini. Namun usaha tersebut mestilah dijalankan dengan mematuhi prinsip hak asasi sejagat.
Polis Diraja Malaysia memiliki rekod yang cemerlang dalam mematahkan kejadian jenayah dan memburu penjenayah tanpa menggunakan undang-undang pencegahan. Sebagai contohnya, dalam tempoh Polis menggerakkan Ops Cantas dan Ops Cantas Khas yang bermula ogos lalu, kadar janyah indeks khususnya jenayah kekerasan telah berjaya diturunkan sehingga 42%. Hal ini menunjukkan pihak Polis berjaya mengendalikan kes-kes jenayah dengan menggunakan undang-undang sedia ada.
Oleh itu SUARAM ingin mempersoalkan tujuan sebenar yang terselindung di sebalik cadangan pindaan terbaru ini.
Menteri Dalam Negeri tidak boleh menyalahkan rakyat sekiranya rakyat mempersoalkan niat sebenar pindaan Akta Pencegahan Jenayah ini. Hal ini kerana sejarah telah banyak menunjukkan bagaimana ISA dan EO mencabuli hak asasi rakyat sepanjang akta tersebut berkuatkuasa. Pada tahun 1960, Kerajaan menjadikan keganasan komunis sebagai alasan untuk menggubal ISA. Hasilnya, dalam tempoh 30 tahun, lebih 10,000 aktivis politik dan NGO menjadi mangsa akta zalim tersebut. Bahkan sehingga kini, masih terdapat 7 orang tahanan ISA yang masih belum dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting.
Kali ini kerajaan menggunakan jenayah sebagai alasan untuk membenarkan penahanan tanpa bicara melalui pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959. Maka sudah pasti ramai pihak akan membimbangi masa depan demokrasi dan hak asasi rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan