SPECIAL ADS

21 September 2013

Kereta: Pengguna miskin memilih harga atau jenama?

21 Sep : Hampir sudah tidak kedengaran isu penurunan harga kereta setelah berlalunya hampir lima bulan pasca pilihan raya umum ke-13. Janji parti yang memenangi tampuk pemerintahan pada hari ini untuk menurunkan harga kereta pun telah berubah daripada "boleh" kepada "amat sukar" dan "perlukan sedikit masa" yang bermaksud tunggu pilihan raya ke-14 sajalah.
Beberapa komentar dilontarkan berkenaan penurunan harga kereta. Ada yang mengatakan bahawa penurunan harga kereta akan menyebabkan pertambahan bilangan kereta diatas jalan raya.
Ini menyebabkan jalan raya menjadi semakin sesak berbanding dengan kesesakan yang telah sedia ada dihadapi oleh pengguna hari ini. Ada juga yang memberi komentar bahawa permintaan kereta keluaran nasional berhadapan dengan risiko penurunan kesan daripada peralihan keinginan pengguna kepada permintaan kereta buatan asing. Inferior.
Saya melontarkan persoalan-persoalan ini dari perspektif seorang pengguna biasa yang berpendapatan kecil dan mungkin mewakili sebahagian besar mereka yang berpendapatan sederhana.
Oleh itu, idea-idea yang ada mungkin tidak akan difahami dan dihayati oleh negarawan yang berpendapatan besar atau pengulas-pengulas agama dan ekonomi bergaji besar yang kerajaan bersembunyi dibelakangnya.
Perlu difahami, keperluan penurunan harga kereta bukan kerana pengguna berkehendak menggunakan kereta buatan asing – tanpa dinafikan mungkin ada sebilangan kecil begitu. Namun, tekanan kerana besarnya perbelanjaan berbanding pendapatan itulah alasan yang sangat utama kenapa pengguna sangat berkeinginan terhadap penurunan harga kereta.
Kereta – sudah menjadi barang asasi (dhoruriyat) kepada seorang pengguna. Ia bukan lagi barang keselesaan (hajjiyat) atau barang bermewah (tahsiniyat). Seorang graduan memerlukan sebuah kereta untuk berulang-alik kesana kemari mencari kerja. Seorang pekerja memerlukan sebuah kereta untuk berulang-alik kerumah kepejabat mencari rezeki. Seorang bapa memerlukan sebuah kereta untuk berulang alik ke rumah ke nurseri ke pejabat isteri seterusnya ke pejabat sendiri.
Ya, kita boleh katakan tidak perlulah seorang graduan menggunakan kereta. Oleh itu kita hilangkan frasa dan ayat yang berkaitan keperluan seorang graduan. Akan tetapi masih tinggal keperluan seorang pekerja dan seorang bapa. Golongan ini tersangat memerlukan kereta untuk kegunaan pencarian rezeki dan urusan pembangunan keluarganya.
Kita bayangkan sebuah keluarga di negeri Selangor menerima gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan. Atau kita bayangkan pendapatan yang biasa diterima oleh seorang pekerja biasa adalah berjumlah RM3,000 sebulan. Ini pendapatan. Saya tiada data tetapi inilah kadar gaji biasa yang diterima oleh rakan-rakan yang sudah bekerja dalam tempoh kurang tiga tahun.
Bayangkan pula penggunaan semasa bulanan yang diperlukan adalah RM600 untuk rumah, RM300 untuk bil utiliti air, elektrik dan telefon, RM300 untuk petrol, RM1,000 untuk makanan, RM500 untuk keperluan isteri dan anak serta RM600 untuk kereta. Maka jumlah perbelanjaan adalah mencecah RM3,300.
Benar, ini adalah andaian dan bukannya data saintifik rasmi yang diperolehi daripada regrasi fungsi ekonometrik. Namun, ini bukanlah andaian semberono untuk mencukupkan pengiraan perbelanjaan melebihi pendapatan. Cuba kita bertanya kepada rakan bahkan cuba bertanya kepada diri sendiri, andaian diatas berasas atau tidak?
Janganlah kita menganggap kereta Proton sebagai barang inferior. Untuk lebih difahami, kita mengandaikan sebagai pengguna Proton, kita akan bertukar menggunakan kereta Honda jika pendapatan kita naik atau dengan kata lain, jika kedua-dua harga kereta ini turun, kita akan memilih Honda.
Kita perlu tahu bahawa tidak semua pengguna akan meminta kereta Honda jika harga kereta itu jatuh. Kebanyakan pengguna akan tetap memilih kereta yang murah sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan bulanan.
Bayangkan harga ansuran bulanan proton Saga berkurang kesan dari pengurangan harga kereta daripada RM600 kepada RM400 manakala ansuran kereta honda city pula menurun daripada RM900 kepada RM700 dengan alasan yang sama, pengguna yang menerima pendapatan yang kecil ini akan tetap memilih proton Saga kerana memikirkan soal perbelanjaan yang perlu dikurangkan lantaran pendapatan yang tidak seberapa.
Bagi golongan berpendapatan kecil dan sederhana, mereka tidak mampu untuk menanggung RM600 sebagai nilai ansuran bulanan kereta Proton. Akan tetapi, mereka terpaksa menerima jumlah itu sebagai liabiliti bulanan disebabkan keperluan yang merdesak.
Golongan ini terpaksa memotong sebahagian perbelanjaan lain kerana kereta Proton. Disebabkan inilah, alangkah bagusnya jika kereta Proton dikurangkan harganya agar ansuran bulanannya berkurang kepada suatu jumlah yang lebih kecil. Bagi golongan ini, sangat mustahil untuk mengambil kereta Honda walaupun harga ansurannya mungkin telah berkurang dari suatu harga yang lebih tinggi kepada harga RM700.
Dan, sudah tentu andaian ini keseluruhannya sonsang apabila dibandingkan dengan golongan berpendapatan tinggi. Sudah tentulah hukum ekonomi yang normal terpakai kepada golongan ini. Sudah tentulah golongan ini menambah koleksi kereta mereka apabila harga sudah turun.
Golongan ini juga mungkin akan mengambil peluang untuk menukar BMW kepada Porsche, Porsche kepada Ferrari dan Ferrari kepada Bugatti apabila cukai dihapuskan. Persoalannya, siapakah dan berapa ramaikah golongan ini dari kalangan kita?
Oleh: Danial Razali

Tiada ulasan: