SPECIAL ADS

24 September 2013

GST: Wang isi rumah terbeban dengan cukai

 Goods & Services Tax (GST) Malaysia
24 Sep : Alasan kerajaan memperkenalkan GST untuk menjana pendapatan negara dilihat bercanggah dengan model pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh permintaan domestik.

Pengarah Ekskutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata dengan model pertumbuhan yang dipacu permintaan domestik atau permintaan isi rumah, rakyat akan mempunyai wang untuk berbelanja.

Namun, sekiranya GST diperkenalkan, permintaan isi rumah yang mempunyai wang untuk berbelanja sebelum ini akan terbeban dengan kadar cukai tersebut yang dilihat boleh menghalang perbelanjaan isi rumah.

"Dalam suasana ini, ketika ekonomi negara dipacu oleh permintaan isi rumah yang mempunyai kuasa berbelanja, cukai GST ini secara langsung akan menghalang kuasa berbelanja tadi," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.


Apabila kuasa membeli itu terhalang, kata beliau sudah tentu pengguna tidak mampu lagi berbelanja dan secara langsung memberi kesan kepada negara untuk menjana pendapatan.

Sehubungan itu, tambah beliau sekiranya kerajaan ingin pengguna mempunyai kuasa beli yang tinggi, tidak sepatutnya kerajaan mengenakan satu perkara yang membebankan mereka, yang akhirnya boleh menghalang perbelanjaan.

Tambah Dzulkefly, pelaksanaan GST ini akan mencetuskan inflasi dan menyebabkan beban pengguna bertambah, sekaligus mengurangkan kuasa membeli isi rumah.

"Saya tidak faham kenapa GST perlu diperkenalkan dalam usaha menjana pendapatan negara, sedangkan pengguna sendiri akan terbeban dengan GST yang akan menghalang kuasa membeli mereka untuk menjana pendapatan negara," kata beliau lagi.

Tambah-tambah lagi, kata beliau ketika negara masih belum mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.

Malah, kata beliau dalam usaha kerajaan menjana ekonomi negara, kerajaan sewajarnya mengangkat pendapatan rakyat agar lebih tinggi dengan kaedah-kaedah tertentu, antaranya memperkenalkan dasar gaji yang lebih adil, bukan dengan melaksanakan GST.

"Masalahnya dasar gaji pekerja masih belum adil. Dasar pendapatan rakyat tidak mampu diangkat kerana pasaran kerja negara kita hari ini dilambakkan oleh pekerja asing yang mempunyai ketrampilan yang rendah (low skill) dan dibayar murah.

Pekerja tempatan yang turut bersaing dalam pasaran kerja, juga dibayar murah  walaupun mereka mempunyai ketrampilan yang lebih tinggi kerana majikan sememangnya tidak berhasrat untuk membayar lebih," tegas beliau.

Justeru, kata Dzulkefly, kerajaan perlu berani menamatkan pergantungan terhadap tenaga pekerja asing, selain perlu beralih kepada industri yang membawa kepada nilai tambah yang lebih tinggi terhadap negara.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan cuba memasukkan GST dalam Bajet 2014, Oktober ini.

Pelaksanaan GST ketika ini dilihat tidak sesuai memandangkan negara masih belum mencapai tahap berpendapatan tinggi, selain rakyat baru sahaja dibebankan dengan kenaikan harga minyak, baru-baru ini.

Tiada ulasan: