23 Sep : Transformasi politik yang dilaksanakan oleh Najib dalam Umno dengan membuka ruang kepada lebih ramai perwakilan terlibat dalam memilih pemimpin dan sesiapa saja boleh bertanding, akhirnya menjadikan bukan saja pertandingan dalam Umno menjadi lebih meriah, malahan kadang-kadang seperti bermulanya "pesta maharaja lawak" dalam parti itu.
Di ibu pejabat Umno, hari penamaan calon yang diadakan Sabtu lalu menjadi meriah dengan ramai calon yang bertanding berserta para penyokongnya datang untuk mendaftarkan diri sebagai calon di peringkat Majlis Tertinggi dan juga sayap-sayap.
Di peringkat negeri juga keadaannya hampir sama di mana ramai yang datang untuk mendaftarkan diri bertanding dalam pelbagai jawatan di peringkat bahagian.
Walaupun transformasi ini baik untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai bakat-bakat baru untuk memeriahkan demokrasi yang bagaikan disekat sejak Mahathir melaksanakan peraturan yang menetapkan perlunya kouta pencalonan sejak 1988 lalu, namum demikian ahli dan pemimpin peringkat bahagian haruslah menyambutnya bukan saja dengan positif tetapi juga perlu dengan kesedaran "ukurlah baju di badan sendiri"
Dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda Umno misalnya, empat calon yang mencabar Khairy Jamaluddin hanyalah mereka berjawatan di peringkat cawangan saja. Ada yang ketua cawangan, ketua pemuda cawangan, penolong setiausaha pemuda cawangan dan seorang lagi bekas ketua pemuda bahagian.
Di antara mereka itu, hanya Akramsyah Sanusi, anak bekas Setiausaha Agung Umno, Sanusi Junid yang dilihat mempunyai profil meyakinkan berikutan pernah terlibat dalam pertubuhan belia MAYC dan pengalaman korporat, selain kedudukan sebagai anak bekas pemimpin Umno, turut sedikit-sebanyak menyerlahkan imejnya.
Yang lain-lainnya, tidak diketahui rekod perjuangan dan pengalaman mereka. Mereka juga tidak pernah sebagai AJK Umno bahagian. Atas dasar apa sebenarnya mereka ini bertanding?
Kalaulah ditakdirkan dan atas kehendak Allah, tiba-tiba mereka ini menang sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia, bayangkan apa jadi kepada pergerakan itu dan apa jadi akhirnya kepada UMNO?
Baru mereka ini mendaftarkan diri untuk bertanding, sudah ramai yang ketawa, bayangkan juga berapa ramai lagi yang akan turut ketawa jika mereka itu menang akhirnya?
Apa yang mereka boleh buat untuk Pemuda Umno sedangkan rekod memimpin sebelum ini hanya di peringkat cawangan saja? Barangkali jika menang, ada yang terjun tingkap dulu sebelum pun masuk ke pejabat Pemuda Umno di tingkat 28 PWTC itu!
Begitu juga dalam pertandingan jawatan MT Umno, sementara ramai menteri dan menteri besar tidak mahu bertanding, terdapat pula beberapa nama yang tidak dikenali dan datang entah dari mana, tiba-tiba menawarkan mahu merebut 25 jawatan itu.
Bolehkah mereka ini bercakap dalam mesyuarat dan mampukah mereka membentangkan idea-idea yang bernas kepada Presiden Umno merangkap Perdana Menteri sedangkan di sekeliling mereka adalah pemimpin-pemimpin yang berjawatan menteri, menteri besar dan timbalan menteri?
Di peringkat bahagian juga, terlihat keadaan yang sama berlaku. Di beberapa bahagian, mereka yang muncul menawarkan diri sebagai Ketua Bahagian hanyalah pemimpin peringkat cawangan yang tidak pernah menonjol selama ini. Yang selama ini hilang entah ke mana dan tiba-tiba muncul dengan impian setinggi gunung mahu menjadi ketua bahagian pun ada juga.
Sementara demokrasi dan transformasi dialu-alukan, dalam masa yang sama janganlah sampai ianya menjadi bahan lawak dan persendaan. Tidak salah mahu bertanding dan menawarkan diri, tapi sentiasalah baju yang dipakai dan kerap-keraplah memandang cermin.
Jika selama ini tidak pernah menjadi AJK pemuda bahagian atau AJK bahagian, janganlah terus berangan ingin jadi Ketua Pemuda Umno Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi atau Ketua Bahagian. Ujilah kemampuan di peringkat bahagian dulu seperti AJK, naib ketua dan timbalan ketua sebelum mahu menjadi ketua. Setelah diuji dan dirasakan mampu, barulah mencongak jawatan yang lebih tinggi. Sebelum duduk, berlunjurlah dulu, kata orang tua dulu-dulu.
Seorang kawan bekas penulis berkata, kemunculan mereka yang tidak dikenali untuk merebut mana-mana jawatan penting dalam Umno kini menjadikan ianya bahan perbualan dan lawak jenaka di mana-mana.
Bahkan ia lebih lawak lagi daripada program Maharaja Lawak, tambahnya lagi.
Mujurlah tidak ada sesiapa daripada kalangan yang tak sedar diri dan tidak mengukur baju di badan sendiri ini menawarkan diri bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, jika tidak tentulah beruk dan kera di hutan juga akan turut ketawa mendengarnya.
Tetapi di masa akan datang, jika tiada ada sesuatu dibuat, tidak mustahil ada ketua cawangan akan menawarkan diri bertanding presiden, timbalan presiden, naib presiden dan sebagainya. Mereka mungkin mahu mencatat rekod untuk kenangan anak-anak cucu sebagai tokoh pejuang bangsa kononnya, lantas tidak lagi melihat Umno sebagai wadah perjuangan yang perlu diselusuri daripada peringkat bawahan terlebih dahulu.
Walaupun transformasi dan keterbukaan ini memang baik demi masa depan Umno itu sendiri tetapi mereka yang tidak mahu mengukur baju di badan ssndiri kadangkala perlu juga diberikan "cermin besar" agar mereka boleh menilai dan mencermin diri masing-masing sebelum mahu menawarkan diri bertanding sesuatu jawatan itu.
Sebelum ini dikhabarkan ada peraturan yang mensyaratkan sesiapa yang mahu bertanding di peringkat MT, sayap-sayap atau bahagian, mestilah pernah memegang sesuatu jawatan di peringkat yang lebih rendah daripadanya terlebih dahulu tetapi melihat kepada apa yang berlaku sekarang seolah-olah peraturan itu tidak digunapakai lagi dan sesiapa saja boleh menawarkan diri.
Lihat saja dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda Umno, sesiapa saja macam diterima tanpa syarat untuk bertanding.
Selain sekatan-sekatan tertentu yang agak munasabah perlu dilakukan, terutama bagi mengelakkan ada yang mengambil kesempatan dan bertanding hanya kerana suka-suka serta pertandingan tiga tahun sekali dalam Umno menjadi "pesta lawak", eloklah difikirkan kaedah-kaedah tambahan ke arah itu.
Mungkin syarat perlu meletakkan deposit sebagimana dalam pilihanraya umum, adalah salah satu kaedah yang sesuai ke arah itu.
shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan