SPECIAL ADS

25 September 2013

Musim pemilihan, nepotisme dan gila kuasa

26 Sep : Musim pemilihan bermula lagi. Bagi penggiat politik kepartian, inilah masanya kegilaan bermula. 

Menjelang detik pemilihan bagi Umno, PAS, PKR dan DAP, ahli politik tidak lekang mencatur strategi; sama ada dibunuh atau membunuh. Itulah resam parti politik. 

Pemilihan kali ini lebih mencabar. Kegilaan baru sahaja bermula dan bakal mewarnai tajuk utama dada-dada akhbar dalam beberapa bulan ini. Pada masa inilah, keberkesanan politik benar-benar teruji. 

Jika pilihan raya menjadi detik setiap ahli politik untuk meyakinkan pengundi-pengundi mereka, pemilihan dalam parti politik pula ruang untuk mereka membuktikan mereka layak mendapat kepercayaan ahli parti.

Tatkala itu, strategi untuk menikam seteru politik masing-masing sudah bermula secara tidak rasmi. Hanya menunggu wisel ditiupkan, maka segala onar dan keburukan pesaing mereka didedahkan untuk mempengaruhi keputusan ahli parti. 

Politik kepartian di Malaysia, masih jauh daripada perubahan. Bicara reformasi dan politik idea hanya retorik untuk menjual air liur. Dalam diam, cantas-mencantas menjadi kebiasaan untuk mengekalkan survival politik.

Adanya parti politik yang berdiri di bawah lembayung perubahan, tidak langsung menjanjikan apa-apa. Tiada pun di kalangan mereka yang benar-benar berani dengan perubahan - atas alasan Malaysia dari segi landasan sosiopolitik belum lagi bersedia. 

Walhal, merekalah yang menangguk di air yang keruh. Peluang yang ada belum tentu dimanfaatkan sepenuhnya, akibat kegilaan untuk dipimpin dan memimpin.

Perbahasan menarik menjelang pemilihan kali ini, diwarnai dengan gagasan nepotisme. Jika diperhatikan satu per satu, hampir setiap daripada parti-parti di atas berhadapan dengan gejala ‘kabel besar' untuk dipilih.

Umno kali ini terpaksa berhadapan dengan gelombang politik Mahathir Mohamad, tetapi melalui anaknya, Mukhriz. 

Kesediaan beliau untuk bertanding jawatan naib presiden, bukan setakat bergantung kekuatan dirinya sendiri sahaja, tetapi seperti diketahui, mendapat suntikan ayahandanya dalam strategi mengukuhkan blok politiknya kembali.

Namun begitu, Umno tampak lebih konvensional dalam pembawaan politik mereka. Dua kerusi tertinggi presiden dan timbalannya tidak pula berlaku pertandingan. Barangkali, inilah ‘demokrasi terpimpin'!

Khairy Jamaluddin turut dicabar kuat beberapa nama untuk merebut kerusi Pemuda Umno. Khairy harus memikirkan cara supaya personaliti politiknya tidak dipalitkan dengan isu hubungannya dengan mertuanya Pak Lah. 

Survival politiknya dalam Umno bergantung besar pada langkahnya untuk memastikan kedudukannya dalam parti hari ini, bukan satu 'anugerah'.

Muktamar PAS kali ini juga menjanjikan kelainan. Nama Zaharuddin Muhammad atau digelar orang sebagai "Din Ayam" muncul entah dari mana, namun menjadi bebelan politik buat seketika.

Kemunculan secara tak sengaja Zaharuddin, yang mendakwa dirinya ‘pakar ekonomi Islam' ini tentu sahaja dipengaruhi oleh kedudukan beliau selaku menantu presiden, Hadi Awang. 

Sementara Nik Abduh, yang dikatakan bakal menjawat jawatan penting ekoran statusnya selaku anak kepada Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat.

Dakwaan perpecahan kelompok profesional-ulama dalam PAS juga semakin hangat diperkatakan. PAS dalam muktamar kali ini bergolak dengan persoalan identitinya sebagai parti Islam tertua di Malaysia itu. 

Muktamar kali ini penting untuk menentukan hala tuju PAS. Kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat bergantung kepada keputusan muktamar kali ini. 

Ada pula suara-suara veteran dalam PAS yang sudah mula meragui kepercayaan mereka dalam 
pakatan politik, secara tak langsung mempertikaikan kembali konsep tahaluf siyasi yang menjadi asas PAS dalam kerjasama Pakatan.

Pertembungan Khalid Ibrahim-Azmin Ali menjelang pemilihan PKR sudah tentunya semakin mengujakan. Tetapi, dalam neraca yang lebih besar, ini bukan perseteruan pendek antara dua tokoh politik ini sahaja. 

Perseteruan ini sebenarnya melibatkan 'faction' yang dikatakan melibatkan Kak Wan (Wan Azizah Islaail) dan Nurul Izzah Anwar. 

Barangkali rahsia ini mungkin diketahui di kalangan ahli-ahli parti sahaja. PKR juga terjerat dalam dilema kekeluargaan. PKR kini lebih layak digelar Parti Kekeluargaan dan Kroni (PKR).

Anwar Ibrahim kini terpaksa memilih di antara dua - sama ada bersama Azmin atau Khalid. Ternyata, kerusi pemilihan di peringkat tertinggi bakal menyaksikan dua nama tokoh politik memulakan kempen masing-masing, bagi merebut jawatan tertinggi di dalam parti terbabit.

Blok politik Azmin Ali turut rancak menyusun strategi menjelang pemilihan kali ini. Proses cantas-mencantas antara dua ‘faction' besar dalam politik dalam PKR sudah lama bermula dan kini semakin aktif. 

Kesediaan PKR yang menjunjung nama besar Reformasi ini hanyalah omongan kosong. Seperti yang dibilang, reformasi kini bukan suatu gagasan idea, tetapi anugerah modal politik untuk dijadikan ‘alat kencing' dalam pemilihan.

Adakah musim pemilihan kali ini bakal diwarnai dengan drama-drama yang lebih mengujakan? Sama-sama kita nantikan!

Tiada ulasan: