SPECIAL ADS

19 September 2013

Pemilihan Umno: yang menang dan kalah sama saja


19 Mei : Dr Mahathir menulis dalam blognya beberapa hari lalu dan memberikan anggapan yang Umno sedang menghadapi penyakit tua dan akan mati tidak lama lagi. Umno tidak lagi menggalakkan penyertaaan orang muda dan yang tua tidak mahu berundur bagi memberi tempat kepada yang muda untuk mendapat tempat.
Tetapi keadaan ini bermula dari beliau mengambil alih kuasa negara dan beliau membunuh kerjaya pemimpin yang muda lagi berwibawa semasa beliau mula mengambil tempat kepimpinan parti dan negara ini. Malahan itulah tindakan yang mula-mula dilakukan Dr Mahathir semasa beliau mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Hussein Onn. Mana-mana pemimpin yang beliau anggap akan mencabar kewibawaan beliau beransur-ansur diketepikan secara sistematik.
Beliau tidak mahu sesiapa yang cerdas di sekeliling beliau semasa menjadi Perdana Menteri. Kesalahan dan kelemahan mana-mana pemimpin yang bersama beliau adalah aset politik kepada beliau dan mudah bagi beliau menentukan politik mereka itu. Beliau tidak seperti pemimpin sebelum beliau yang menggalakkan dan mendidik pemimpin pelapis yang berwibawa.
Hasil kerja tangan beliau yang nyata pada hari ini ialah apa yang kita lihat sekarang. Kalau beliau mendidik dengan jujur kepimpinan partinya masakan pemimpin seperti Abdullah Badawi dan Najib menjadi pewaris kepada kepimpinan beliau. Dr Mahathir sendiri menganggap pemimpin partinya sebagai ‘Red Indians’ sahaja dan beliau tidak mahu pemimpin yang benar-benar berwibawa berada di dalam kabinetnya. Beliau hendak berkuasa seorang diri tanpa sesiapa yang berani menasihati beliau.
Pemimpin didikan pucuk pimpinan Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman yang berusia 10 atau 12 tahun lebih muda dari beliau pun beliau bunuh secara halus dan ini sudah menjadi budaya kepada Umno dan pucuk pimpinan sendiri. Beliau sendiri duduk di kerusi kuasa selama 22 tahun dan dalam menduduki kerusi kuasa lebih dua dekad itu beliau telah melakukan segala-galanya untuk mempertahankan keenakan kuasa itu.
Untuk mengelakkan yang lebih muda dari beliau mengambil alih kepimpinan, beliau membunuh partinya sendiri dan telah menghancurkan semua sistem dan institusi demokrasi dan sakitnya dirasakan oleh ramai sehingga ke hari ini. Seburuk-buruk pimpinan Umno selepas ini tidak akan ada yang akan sanggup melakukan apa yang Dr Mahathir lakukan untuk mengekalkan kuasa. Kos untuk mengekalkan kuasa untuk Mahathir begitu mahal harganya.
Kata-kata Dr Mahathir itu sebenarnya adalah untuk dirinya sendiri, bukannya untuk diri mereka yang mewarisi kepimpinan beliau. Malahan kelemahan kepimpinan selepas beliau bersara itu adalah hasil kerja tangan beliau sendiri. Semasa pimpinan beliau hanya beliau sahaja yang dibenarkan berfikir untuk yang ramai. Tugas dan tanggungjawab yang lain hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan sahaja apa yang beliau katakan dan lakukan.
Berkata benar adalah salah dan memberikan pandangan yang berlainan dari pandangan beliau dianggap sebagai tidak menyokong beliau. Pandangan dari Perdana Menteri yang bersara tidak diindahkan tetapi beliau tidak berpuas hati jika Perdana Menteri-Perdana Menteri selepas beliau tidak mendengar kata-kata beliau.
Sekarang beliau menyebut tentang penyertaan pimpinan muda dalam Umno yang beliau pernah lakukan. Sekarang ini beliau menuduh yang pimpinan sekarang tidak mahu membawa pemimpin pelapis yang muda pula. Mungkin kerana beliau mempunyai zuriat yang masih muda dan ingin mencelah untuk menjadi pemimpin negara membuatkan beliau bercakap tentang penyertaan pihak yang muda dalam kepimpinan Umno. Dalam nafas yang sama beliau tidak bersetuju dengan Khairy Jamaludin, seorang lagi pemimpin muda yang sedang berusaha mengasah kepimpinan beliau dalam negara.
Pendeknya Mahathir mahukan yang tua itu hanya untuk beliau dan yang muda pula adalah anak dan generasi keluarga beliau sahaja. Bagi saya Umno biarlah dibina oleh ahlinya sendiri dan bukannya oleh mereka yang mempunyai agenda untuk keluarga dan peribadi mereka sendiri. Tidak ada pihak yang ingin menyekat kenaikan Mukhriz kerana ini demokrasi. Tetapi Mukhriz tidak akan terlepas dari bersalah-salahan dengan ahli Umno yang ramai dan beliau wajar menerimanya dengan terbuka.
Mukhriz tidak boleh mengikut cara bapanya yang sentiasa tidak mahu mendengar pandangan lain dari pandangan beliau sendiri. Mendengar pandangan lain itu adalah haram bagi Dr Mahathir kerana beliau mengganggapkan hanya pandangan beliau sahaja yang betul.
Tetapi itu hak beliau untuk memberikan pandangan tetapi setiap ahli mempunyai pandangan sendiri dan boleh menilai semua yang kehadapan memperagakan diri mereka untuk duduk dibarisan kepimpinan negara. Hanya yang penting mereka jangan dengan tidak sengaja terperaga kelemahan yang nyata dalam proses kempen- mengempen itu.
Sesiapa sahaja yang mempunyai kesihatan yang baik dan tidak bercakap seorang diri serta tidak bankrap atau terlibat dengan sodomi seks dan terlibat dengan rasuah sememangnya boleh menawarkan diri untuk menjadi pemimpin.
Biarkan ahli yang ramai untuk menentukan siapa yang hendak mereka mandatkan. Siapa pun boleh di pilih, lagi pun yang terpilih dan tidak terpilih itu pun dari kumpulan yang sama kemampuannya, pemikirannya serta sikap dan moralnya.
Ramai yang berkata jika Najib boleh terpilih sebagai PM, yang lain pun tidak ada sebab tidak boleh dipilih. Kata orang tua-tua, yang menang panjat bendul dan yang kalah panjat tiang. Sama sahaja. – aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: