16 Sep : Dasar Ekonomi Baru dibawah urustadbir Umno-Barisan Nasional telah gagal mengangkat martabat ekonomi Bumiputera, disebalik pelbagai retorik dan peruntukan berbilion ringgit untuk memperkasa pembangunan Bumiputera.
Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Umno sering menggunalan istilah Melayu, Bumiputera dan pembangunan secara seiring, namun taraf ekonomi golongan majoriti itu kekal lemah dibawah Umno-BN tidak dapat dinafikan. Turut mendukacitakan adalah keadaan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang daif berbanding Bumiputera di Semenanjung Malaysia.
“Umno-BN mesti menjelaskan kepada semua rakyat Malaysia mengapa meskipun begitu lama DEB dilaksanakan dan berbilion-bilion ringgit dibelanjakan, tetapi mobiliti sosial Bumiputera kekal rapuh dan memperlukan sokongan Kerajaan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.
Muhyiddin berkata agenda ini merupakan pengukuhan komitmen Umno kepada pembangunan ekonomi Bumiputera, dan Umno tidak akan apologetik kepada masyarakat bukan Bumiputera dalam memperjuangkan matlamat itu.
Nik Nazmi bagaimanapun berkata Umno terlebih dahulu perlu menjawab mengapa selepas 42 tahun DEB dikelola Umno-BN, golongan Bumiputera masih tidak mempunyai daya ekonomi untuk berdiri atas kaki sendiri.
“Mobiliti sosial hanyalah bermakna pada jangka masa panjang sekiranya fenomena ini dapat bertahan sendiri. Justeru, mobiliti sosial seharusnya dapat diwariskan kepada generasi akan datang tanpa bantuan yang berterusan,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, Umno perlu menjelaskan kebocoran RM54 bilion saham yang diperuntukkan untuk Bumiputera di Bursa Saham Kuala Lumpur, seperti yang dilaporkan Bernama, 30 Jun 2010.
“Tiga tahun lalu Najib mengakui bahawa daripada RM54 bilion nilai saham yang diperuntukkan kepada masyarakat Bumiputera, hanya RM2 bilion yang kekal di tangan masyarakat itu. Ke manakah pergi saham yang lain?” soal beliau.
Nik Nazmi juga mendesak Umno memberi alasan mengapa jurang sosioekonomi di dalam masyarakat Bumiputera semakin melebar, disebalik kepercayaan yang diberikan kepada parti itu.
“Banyak kelemahan-kelemahan masyarakat Bumiputera, termasuk hakikat bahawa pendapatan purata masyarakat Cina Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Bumiputera dengan nisbah 1: 1.43 dan effective control terhadap syarikat korporat hanyalah 10 peratus,” katanya.
Hakikatnya, tegas Nik Nazmi, UMNO bertanggungjawab di atas kelemahan berterusan masyarakat Bumiputera.
“Berapa lamakah penyelesaian kepentingan dan masalah sebenar masyarakat bukan Bumiputera perlu ditangguhkan atau tidak diendahkan sementara Kerajaan memainkan sentimen masyarakat Bumiputera hingga hubungan antara kaum menjadi korban?
Beliau berkata, inisiatif terbaru Najib tidak memberi keyakinan bahawa isu pokok yang dihadapi masyarakat Bumiputera sekarang dapat diatasi.
Malah katanya, langkah-langkah yang diumumkan itu adalah lebih kepada memastikan survival politik terhadap individu tertentu, bukannya keprihatinan sebenar untuk mengangkat martabat Bumiputera.
“Semua rakyat menjadi mangsa kegagalan dasar-dasar Kerajaan Umno-BN yang lebih mementingkan retorik daripada perkara-perkara substantive. Pendekatan Kerajaan hanyalah membelanjakan wang untuk semua masalah dengan harapan masalah tersebut akan selesai,” katanya lagi. SK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan