SPECIAL ADS

9 September 2013

Teguran Ku Li bukti kepimpinan Umno sarat rasuah

09 Sep : Kecaman veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terhadap pemerintahan Kerajaan Umno BN kerana gagal membendung gejala rasuah dalam pentadbiran negara menggambarkan rasuah sudah berakar umbi dalam parti itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, selagi masalah rasuah dalam kerajaan tidak dapat diselesaikan, rakyat akan terus menanggung bebannya.

"Semua orang tahu Umno korup. Veteran-veteran Umno seperti Tan Sri Muhammad Taib, Datuk Tamrin Ghafar yang menyertai PAS memang mengakui betapa busuknya Umno dengan rasuah.

"Bagaimana kita boleh laksanakan pemerintahan untuk rakyat jika pemimpin negara masih bergelumang dengan soal rasuah kerana rasuah ini berkait rapat dengan moral pemimpin," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tengku Razaleigh kelmarin bahawa amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi kerajaan dan melibatkan jumlah wang yang banyak.

Amalan rasuah kata bekas Menteri Kewangan itu, menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban khasnya dalam kenaikan harga RON 95, RON97 dan Diesel.

Menurut Mazlan juga, kenaikan harga minyak yang menyebabkan kesan berantai tidak akan berlaku jika pemimpin Umno BN benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat, bukan mengutamakan poket mereka semata-mata.

"Setiap kali berlaku kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kerajaan akan nasihatkan rakyat supaya berjimat-cermat, berhemah tapi duit terus masuk ke poket mereka dengan rasuah dan sebagainya," tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

Tambah beliau lagi, formula memastikan pemerintahan negara memberikan kebaikan kepada rakyat adalah dengan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada orang yang berintegriti dan bermoral tinggi.

"Formulanya, kepimpinan harus diuruskan oleh orang yang ahli, orang yang mementingkan integriti, bermoral dan PAS sememangnya mengamalkan pemerintahan yang berintegriti," katanya.

Oleh: Hazayani Zakaria

Tiada ulasan: