15 Sep : Noor Azleen Ambros bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera mekanikal yang berjaya dan dia memilih untuk belajar di salah sebuah universiti terbaik di United Kingdom (UK).
Tetapi sesi dialog dan perbincangan dengan seorang menteri ketika berkunjung ke UK telah mengubah haluan dan cita-cita Azleen.
Pemuda seperti Noor Azleen, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari University of Warwick, UK dan ramai lagi melihat nama-nama besar dalam politik tanahair sebagai 'role model' yang mendorong mereka menyertai bidang politik sebagai satu kerjaya baru.
"Saya seorang yang aktif dalam kelab Umno Cawangan Coventry & Warwick di UK, dan itu telah membuka peluang untuk saya berinteraksi, berdebat dan berdialog dengan bos saya sekarang iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar Johor).
"Saya melihat ciri-ciri urus tadbir yang baik yang ada padanya seperti menepati masa, tegas, dedikasi dan berprinsip telah mendorong saya untuk menyertai Umno dan berkhidmat sebagai pembantu beliau," kata Azleen dalam temubual baru-baru ini.
Noor Azleen, 28, kini merupakan ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang dan bertugas sebagai pegawai khas kepada Mohamed Khaled.
Sebelum itu dia telah berkhidmat dengan Khaled yang merupakan Menteri Pengajian Tinggi dan pengalaman tersebut telah banyak membantu dirinya untuk menjadi seorang aktivis dan juga pemimpin
Kata Azleen sebenarnya disiplin dalam bidang kejuruteraan banyak membantunya sebagai seorang kakitangan politik.
"Saya bukan sahaja mesti menjadi seorang yang kalkulatif tetapi juga seorang yang tahu mengimbangkan keperluan politik dan keperluan karier sebagai pembantu menteri," katanya lagi.
Kelebihan Datuk Seri Khaled kata Azleen ialah beliau seorang guru yang membimbing stafnya melalui teladan.
"Beliau meletakkan garisan yang jelas antara berpolitik dan juga bekerja sebagai seorang pentadbir. Misalnya beliau tidak membenarkan politik dibincangkan di pejabat. Politik kata Datuk Seri Khaled hanya selepas waktu pejabat atau di luar pejabat, jelas Noor Azleen.
Pemuda ini berpendapat, bentuk pemilihan baru Umno tahun ini, adalah antara usaha parti untuk melakukan transformasi dan perubahan dengan harapan ia menjadi lebih demokratik, terbuka dan inovatif.
“Ini menunjukkan Umno adalah sebuah parti yang responsif kepada perubahan dan bersedia memberi nafas baru bagi memastikan ia dapat memenuhi kehendak generasi dan kepimpinan muda di semua peringkat serta lebih relevan kepada generasi muda seperti saya,” katanya.
Sepertimana Noor Azleen, bekas graduan Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat, Akmal Nasir, 27, menunjukkan minat terhadap politik sejak bergelar mahasiswa lagi.
Tetapi tidak seperti Azleen, Akmal yang kini bertindak sebagai Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menegaskan, minatnya terhadap politik bermula selepas menghadiri program ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Amerika Syarikat.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari itu berkata, menerusi ceramah itu, beliau memahami apa yang diperjuangkan pakatan pembangkang.
"Walaupun belajar di luar negara, saya tetap menjalankan tanggungjawab sebagai mahasiswa yang cintakan tanah air. Kami mempersoalkan banyak perkara yang dilaksanakan kerajaan.
"Selepas mendengar hujah dan pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai situasi politik di Malaysia, saya mula tertarik dengan perubahan yang sedang diusahakan parti pembangkang," katanya.
Selain itu menurut Akmal, hubungannya dengan pemimpin pembangkang tidak berakhir begitu sahaja kerana sekembalinya beliau ke tanah air selepas menamatkan pengajian pada 2009, Akmal memulakan kerjaya pertamanya sebagai pegawai penyelidik, di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor yang diketuai Anwar.
Menurut Akmal yang mempunyai ijazah pertama (pengkhususan berganda dalam bidang ekonomi), penglibatannya dalam NGO dan politik merupakan satu pencapaian yang cukup besar.
Katanya, tidak ramai golongan muda berminat melaksanakan tanggungjawab sosial.
Selain bekerja rapat dengan Anwar, Akmal juga menjadikan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli sebagai 'role model'.
NOW yang diketuai oleh Akmal adalah atas daya usaha Rafizi.
Ditanya sama ada beliau sudah bersedia untuk diketengahkan sebagai pemimpin politik muda dalam PKR, Akmal menegaskan, tanggungjawab itu akan tetap tiba suatu masa nanti.
Bagaimanapun menurutnya pada masa ini dia lebih selesa untuk bekerja di belakang tabir serta menumpukan kepada hala tuju NGO yang diterajuinya.
Bekas graduan dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Kolej Islam Antarabangsa, Mohamad Shah Hasan, 29, juga berkata, beliau menyertai PAS kerana parti itu membuka peluang yang luas untuk generasi muda berkecimpung secara langsung dalam politik.
Mengakui tiada seorang pun ahli keluarganya yang menyertai PAS, Mohamad Shah mula berjinak-jinak dengan perkembangan politik dalam PAS sejak beberapa tahun lalu sebelum menjadi ahli secara rasmi setahun yang lalu.
Tegasnya, keperibadian dan ketokohan pemimpin PAS yang mengimbangi antara tuntutan dunia dan akhirat menjadi daya penarik untuknya menyertai parti itu.
"Ramai pimpinan PAS boleh diangkat sebagai ikon ataupun idola. Uniknya PAS ialah parti ini saling menitikberatkan hal dunia dan akhirat dalam setiap tindakan mereka.
"Selain itu minat saya untuk bersama PAS setelah menyedari bahawa parti itu kini boleh diterima golongan muda dan profesional kerana wujudnya dasar untuk memprofesionalkan parti," katanya.
Jelas Mohamad Shah, perubahan dan keterbukaan PAS untuk bersama golongan muda dan profesional merupakan nadi utama untuk parti itu kekal relevan.
Terang Mohamad Shah yang berasal dari Kangar, Perlis, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam PAS, beliau memilih untuk memberi sumbangan terhadap perkembangan parti melalui media sosi
Di Gelang Patah, kemunculan seorang gadis manis dan cantik bernama Dyana Sofya Mohd Daud menjalankan kerja-kerja politik di kawasan parlimen itu telah menarik perhatian ramai. Dyana, 26, adalah pegawai politik kepada ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
Graduan undang-undang dari UiTM itu bertemu Kit Siang dalam satu majlis pada tahun 2012.
Kemudian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dia menawarkan diri untuk berkhidmat dengan pasukan kempen Kit Siang di Gelang Patah.
"Saya berada bersama-sama satu pasukan yang hebat dan saya berasa selesa bekerja dengan mereka. Kami bekerja keras dan strategi kami telah membawa kemenangan kepada Kit Siang," kata Dyana yang berterima kasih kepada Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang) yang telah memberikan pelbagai tips kepada orang muda sepertinya," ujar Dyana.
Hasil kerja Dyana dan pasukannya itu telah menarik perhatian Kit Siang dan selepas pilihan raya umum dia telah ditawarkan peluang untuk berkhidmat sepenuh masa sebagai pembantu politik kepada ahli parlimen itu.
"Dia (Kit Siang) adalah seorang pemimpin yang memberi inspirasi kepada generasi muda seperti saya. Dia tidak tahu erti penat. Dia bekerja dari pagi sehingga ke tengah malam. Saya sendiri kadang kala tidak dapat mengejar kepantasannya. Masih banyak yang perlu saya belajar daripada pemimpin sepertinya," kata Dyana.
Dyana juga ingin membuktikan yang orang Melayu juga berpeluang untuk mendapat tempat di dalam sebuah parti yang sejak dahulu didominasikan oleh bukan Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan