SPECIAL ADS

16 September 2013

“Iktiraf Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan,” kata bekas ketua pengarang Utusan

16 Sep : Sudah sampai masanya kerajaan mengiktiraf bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan kata bekas ketua pengarang Utusan Malaysia Said Zahari (gambar).
Menurutnya, biarpun kerajaan cuba menafikan hak Chin Peng namun hakikatnya beliau tetap merupakan anak kelahiran Malaysia dan sejarah tidak menafikan bekas pemimpin komunis itu juga merupakan antara tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan negara.
"Saya menganggap Chin Peng ini perjuang kemerdekaan, Chin Peng dan rakan-rakannya sebenarnya merupakan sebahagian dari kemerdekaan negara, benar mereka ini menganggotai parti komunis tapi demi membebaskan Tanah Melayu dari penjajah.
"Mereka ini sebenarnya yang menentang British, namun kerana politik, kerana British mahu menguasai negara ini maka mereka melabelkan Chin Peng ini sebagai musuh negara," kata Said ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Menurut Said yang pernah memimpin mogok Utusan membantah pengambilalihan oleh Umno itu, tidak wajar kerajaan menghalang Chin Peng dari pulang ke tanah air.
"Chin Peng ini anak kelahiran Sitiawan Perak, darahnya mengalir di negara jadi mengapa hak mendiang sebagai rakyat Malaysia dinafikan tidak dibenarkan pulang ke negara? Beliau patut diberi penghormatan untuk kembali ke negara, biarlah Chin Peng bersemadi dengan aman di tanah airnya sendiri.
"Chin Peng benar-benar seorang pejuang, begitu setia pada negara lihatlah sampai saat terakhir beliau tetap mahu kembali ke negara asalnya saya rasa sudah tiba masa rakyat Malaysia menerima Chin Peng sebagai rakyat yang memperjuangkan kemerdekaan bukannya pemberontak," katanya.
Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di Bangkok, Thailand pagi ini pada usia 90 tahun.
Menurut Bangkok Post, beliau meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada bulan Oktober, 1924.
Chin Peng mengetuai PKM melawan penjajah British selepas darurat diisytiharkan pada tahun 1948.
Perang berterusan sehingga perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989.
Beliau menetap di Bangkok, Thailand sehingga kematiannya pagi ini dan tidak pernah dibenarkan pulang ke Malaysia walaupun berkali-kali memohonnya.

Tiada ulasan: