28 Sep : (SOAL JAWAB) Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melangkah bergaya selepas PRU 13 lalu apabila buat kali kedua terus diberi kepercayaan mengemudi negeri. Berbekal ketelusan yang menjadi prinsip Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau juga sudah pasti dibantu barisan exco berkaliber.
Salah seorangnya, Dr Halimah Ali yang memegang portfolio Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.
Ketika usianya kini 53 tahun, semangat beliau tetap membara untuk menterjemahkan maksud Surah Saba’, ayat ke-15 sebagai intipati dalam proses “mengehsankan insan” penduduk di negeri paling maju itu.
Berikut temu bual wartawan Harakah, ARIF ATAN dan SAIDAH HAIRAN bersama beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, baru-baru ini.
HARAKAH: Cabaran Dr hadapi sewaktu pertama kali memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri selepas PRU12 (2008) lalu?
DR HALIMAH ALI: Penggal pertama dulu antara yang terpaksa untuk dilalui ialah saya perlu menganalisa bagaimana keadaan insan di Selangor. Maknanya, saya perlu mendidik insan di Selangor ini supaya kemudiannya dapat mencapai status “Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan”.
Bagi menjadikan matlamat dalam halatuju rangka tindakan Kerajaan Selangor 2025 itu jadi nyata pastilah memacu pembangunan modal insan menjadi antara teras utama selain pembangunan fizikal. Jadi, fokus kita ialah bagaimana hendak membangunkan akal dan jiwa penduduknya supaya kualiti insan di Selangor memungkinkan tercapainya visi kerajaan negeri.
Itu terjemah daripada apa yang saya ambil daripada Surah Saba’ ayat ke-15 (antaranya bermaksud, “Makanlah olehmu rezeki yang dianugerahkan oleh Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya) hingga sampai satu tahap memungkinkan Selangor jadi negeri terbaik dan diampuni Allah. Kita tidak mahu kemajuan fizikal mencakar kemajuan insan sehingga akhirnya terjerumus menuju kemusnahan. Moga Allah jauhkan.
“Kembali menjiwai” itu makna di sebalik nama Darul Ehsan?
Itu sudah pasti. Darul itu maksudnya negeri. Ehsan dalam konteks masyarakat majmuk kita ada orang Islam dan bukan Islam. Ehsan secara asasnya bermaksud cemerlang. Jadi, ini negeri yang serba-serbinya menjanjikan kecemerlangan. Kita tidak mahu sekadar ungkapan tapi kita menyiapkan insan-insan Selangor yang cemerlang barulah negeri ini darul cemerlang.
Oleh itu, model SPIES (Spiritual, Physical, Intelellectual, Emotional, Social) kita jadikan rujukan dalam program pembangunan modal insan di Selangor. Kita mahu laksanakan pembangunan insan yang berjadual dan secara sedar dipandu nilai spiritualnya dari rumah sampai liang lahad.
Rakyat di Selangor jadi insan yang baik hati, spiritualnya kuat dan sentiasa sedar Allah sentiasa melihat. Jadi, dia akan malu buat jahat dengan adanya ehsan. Itu soal rohani atau spiritual.
Daripada segi fizikal pula, kalau di Selangor sekarang sudah ada 5.8 juta penduduk sebab ramai mahu jadi rakyat negeri ini. Jadi, kita mahu rakyat Selangor jadi sihat dan kuat. Dia mampu dari hujung rambut sampai hujung kaki melakukan kebaikan tadi.
Sekarang ini Kementerian Kesihatan uar-uarkan satu pertiga rakyat Malaysia sudah menghidap kencing manis, darah tinggi. Itu nanti sangkut pula dengan sakit buah pinggang, katarak, sakit jantung dan sebagainya. Maksudnya, aspek fizikal kita tidak dilatih membudayakan kesihatan.
Iya. Cara hidup kita hari ini kita seolah-olah menempah deretan penyakit itu 20, 30 tahun akan datang. Akibatnya? Produktiviti jatuh walaupun individu itu baik rohaninya tapi tidak sihat. Susah. Pak imam umur awal 30-an pun sekarang ini ada sakit jantung, strok. Tak mampulah buat kerja pada tahap maksimum.
Selain itu, apa lagi?
Ciri kedua, fizikal juga ialah kita tidak mahu orang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmu. Tahu hal itu tak baik tapi buat. Sungai Klang contohnya wajar jadi sumber air untuk orang Selangor. Tak perlu sebenarnya Selangor beli air dari Pahang sebab Selangor ada tiga sungai – Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor.
Kenapa kita tidak boleh guna Sungai Klang untuk kegunaan rakyat di Selangor? Sebab pencemaran. Siapa cemarkan? Adakah monyet di hutan? (ketawa). Kita tahu sungai ini ciri fizikal. Buang minyak ke sungai macam baru-baru ini diesel ke Sungai Selangor. Itu tidak bertindak dengan ilmu.
Baik hati kita juga dinilai melalui tindakan fizikal. Niat saja mahu tolong orang tapi tidak, itu kita tidak mahu. Fizikal ini maknanya tangan, kaki dan seluruh pancaindera digunakan sebagai seorang insan. Niat dan arahkan. Baru kita boleh jadi sejahtera. Apa yang hendak dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat anggota tubuh kita.
Bagaimana ciri ketiga dalam formula SPIES?
Kalau ikutkan dasar kerajaan sejak merdeka, asas intelek itu ialah membaca, menulis, mengira. Tapi kita tambah fungsi fikir. Baru kita dapat selesaikan banyak masalah. Contohnya, kenapa Melayu selepas 56 tahun merdeka masih dialah juara kemiskinan? Kenapa Terengganu ada minyak tetapi jadi negeri miskin?
Jadi, kita mahu latih rakyat negeri Selangor berfikir secara analitikal dan kritikal supaya boleh memilih dengan bijaksana. Contoh, kita tengok pilihanraya. Itu tugas besar. Kalau pilih salah, tidak analisa orang atau parti yang hendak dipilih maka dia akan terima akibat kerana tak buat pilihan tepat.
Malangnya, selama ini rakyat tidak dilatih berfikir analitikal dan kritikal.
Lagi contoh. Kenapa Melayu, Cina, India masih bergaduh? Ada semangat perkauman sempit. Kenapa? Sekali lagi sebab tidak mampu berfikir. Tiada sikap saling menghormati keperluan orang yang berbeza kaum dan agama.
Lagi contoh. Kenapa Melayu, Cina, India masih bergaduh? Ada semangat perkauman sempit. Kenapa? Sekali lagi sebab tidak mampu berfikir. Tiada sikap saling menghormati keperluan orang yang berbeza kaum dan agama.
Bukan maknanya kita mesti liberal. Tidak. Pasal mazhab, syiah. Tidak habis-habis bergaduh pada 20 rakaat atau 8 rakaat. Bergaduh hal yang sunat tetapi yang fardu dan wajib tidak dibuat. Macam mana tu?
Kita gaduh benda kecil sebabnya kita tak mampu berfikir. Akibatnya, tidak mampu selesaikan masalah. Bahkan kita pula yang cipta, tambah lagi masalah. Nak jadi Selangor yang sejahtera mesti rakyatnya mampu berfikir holistik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan