SPECIAL ADS

17 September 2013

Iklan GLC untuk bayar saman Utusan?

17 Sep : Semasa merasmikan bangunan baru milik akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat milik Melayu dan Bumiputera untuk membeli iklan daripada akhbar berkenaan bagi membantu kelangsungan mereka.
Menurut Najib, Utusan Malaysia adalah lambang kejayaan kaum Melayu di negara ini.
"Saya harap kepada badan kerajaan, GLC,dan syarikat Bumiputera mereka menghargai Utusan dengan pengiklanan lebih kepada Utusan.
“Ini sahaja dapat letakkan Utusan di atas landasan lebih kukuh," katanya.
Najib menyifatkan sejak 70 tahun penubuhan akhbar berkenaan ia bertujuan untuk memperjuangkan komuniti Melayu.
"Jika Utusan sebagai suara lidah keramat Melayu, lambang imej Utusan juga lambang kejayaan orang Melayu," kata Najib dalam ucapan perasmian bangunan baru akhbar berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Apakah gesaan Najib baru-baru ini agar GLC membeli lebih banyak iklan untuk membayar saman-saman fitnah Utusan Malaysia?
Hari ini Datuk Husam Musa kerana beliau berjaya menyelesaikan fitnah terhadapnya menjelang muktamar empat tahun lalu apabila edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia bersetuju untuk menarik balik fitnah itu dan membayar kos RM40,000 kepadanya.
Persetujuan ini dicapai melalui penyelesaian damai yang dibacakan di depan Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Mingguan Malaysia bersetuju untuk menyiarkan penarikan balik itu dalam keluarannya 22 September ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 4 Julai lalu memerintahkan Utusan Malaysia membayar ganti rugi umum dan teladan sebanyak RM250,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas saman yang difailkan terhadap akhbar itu berhubung isu pendaftaran nombor plat kereta WWW1, pada tahun lalu.
Peguam Nizar, Fitri Asmuni memberitahu The Malaysian Insider, Hakim Rosnani Saub dalam keputusannya mendapati Utusan Malaysia bersalah melakukan fitnah terhadap Nizar dan akhbar itu gagal dalam pembelaannya yang menyatakan tindakan mereka menyiarkan kenyataan Nizar menerusi akaun Twitternya itu adalah satu justifikasi, komen berpatutan, perlindungan bersyarat dan kewartawanan.
Januari tahun ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam tuntutan saman terhadap Utusan Malaysia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham mendapati akhbar itu memfitnah Anwar dalam dua artikel.
Pada Februari 2011, Mahkamah Rayuan memerintahkan Utusan Malaysia membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung penyiaran artikel bertajuk `Kebiadapan Guan Eng' yang disiarkan pada 20 Disember 2011.
Utusan Malaysia sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila laporan muka hadapan akhbar berkenaan memaparkan tajuk "Apa Lagi Cina Mahu" sejurus selepas Pilihan Raya 2013.
Laporan berkenaan menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak yang mengkritik penerbitan berkenaan. Pendirian Najib menimbulkan tanda tanya.
Najib yang sebelum ini memperkenalkan Gagasan 1Malaysia itu kini dilihat tunduk kepada kumpulan berhaluan kanan dalam Umno untuk mengekalkan kedudukannya menjelang pemilihan parti itu Oktober ini. TMI

Tiada ulasan: