SPECIAL ADS

25 April 2013

PRU 13 : Budaya Politik Longkang


Dr Mohd Tap Salleh
KUALA LUMPUR 25 Apr : Amalan budaya "politik longkang, kotor dan caci hina" dalam siri kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mesti segera dihentikan jika mahu Malaysia terus membangun sebagai sebuah negara yang makmur dan harmoni dengan masyarakat yang penuh adab dan nilai baik.

Melahirkan kekesalannya, Presiden Institut Integiriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Tap Mohd Salleh berkata, jelas sekali perkembangan mutakhir ini menunjukkan  budaya politik Malaysia yang tidak matang.

"Kita baru memasuki hari kelima kempen dan ini pula merupakan pilihan raya umum kita kali yang ke-13. Kita nampak tidak matang dalam berpolitik," luahnya kepada Sinar Harian Online.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 15 hari untuk PRU13.

Dalam perkembangan terbaru, satu letupan bom berlaku bilik operasi pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Nibong Tebal Pulau
Pinang menyebabkan seorang lelaki cedera di kaki.

Di Sekinchan Selangor dua bom petrol menyebabkan bilik operasi BN di sana terbakar.

Sebelum ini beberapa insiden pergaduhan berlaku ketika jentera parti mula memasang bendera dan poster parti sehingga mendatangkan kecederaan parah.

"Inilah sebenarnya peranan ketua atau pun calon yang bertanding ini. Penyokong ini sebenarnya akan melihat ketua mereka.

"Kalau mereka yang naikkan kemarahan, mencaci, inilah yang akan berlaku. Sepatutnya mereka ini yang meredakan ketegangan," ujar Tap.

Tambahnya lagi, dalam siri kempen sama ada ceramah mahu pun sesi ramah mesra bersama rakyat, calon-calon ini haruslah mengambil pendekatan yang lebih ilmiah dengan menerangkan tentang dasar-dasar  atau manifesto yang ingin dibawa dan bukannya mengamalkan politik adu domba, membuka aib dan mencari salah lawan.

"Janganlah kita sampai keluar daripada batas tatasusila. Kita mewujudkan politik yang intelek. Ini nanti akan menjadi cerminan politik untuk generasi muda.

"Selain terangkan manifesto dan apa kelebihan jika rakyat memilih kita (calon),  harus diterangkan juga kepada rakyat apa sumbangan kita dalam pembangunan negara, cara memupuk perpaduan di kalangan rakyat dan lain-lain secara menyeluruh," ujar beliau.

Tiada ulasan: