SPECIAL ADS

26 April 2013

Debat : Pertahankan Kg. Baru KL

26 Apr : Saya membaca sepanduk UMNO Bahagian Titiwangsa yang digantung di mana-mana sekitar Kampung Bharu mulai semalam. Banner tersebut tertulis "UMNO Bahagian Titiwangsa tidak akan membiarkan tanah Kampung Bharu diambil walau seinci pun".

UMNO Bahagian Titiwangsa kelihatan tersepit sehingga terpaksa menggantung banner tersebut dalam sekelip mata. Setelah saya respons, Taskforce Kampung Bharu juga respons, dan ramai penduduk Kampung Bharu merungut mengenai masa depan mereka yang tidak keruan, baharu Datuk Johari memberikan responsnya.

Mengapa sekarang beliau memberikan responsnya tatkala parlimen telah dibubar dan pilihanraya umum ke 13 sedang berlangsung. ? Yang dikesalkan rakyat adalah di mana suara-suara lantang UMNO Titiwangsa mahu mempertahankan kampung ini ketika rakyat gegak gempita dan kecoh mahu supaya tanah tersebut dipertahankan selama ini? 


Siapakah yang sebelum ini mencadangkan supaya 40% tanah Kampung Bharu diberikan kepada bukan bumiputera dan hanya 60% dikekalkan kepada pemilik bumiputera, bukankah itu cadangan daripada UMNO sendiri?

Jika Datuk Johari Abdul Ghani, calon BN Titiwangsa menafikan bahawa beliau bersekongkol dengan penyerahan tanah berharga tersebut kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu, mengapa beliau tidak mengkritik serta membantah partinya sendiri yang meluluskannya di Parlimen pada tahun 2011 dahulu? 

Apakah beliau dan Datuk Raja Nong Chik berada di dua kem yang berlainan dan sedang bergaduh sakan sehingga melibatkan prinsip partinya terhadap kampung tersebut?

Walau apapun, saya mengalu-alukan respons spontan beliau. Sekurang-kurangnya baharu beliau sedar bahawa penduduk dan pewaris Kampung Bharu mempunyai maruah dan harga diri untuk dipertahankan. Penduduk kampung Bharu bukan golongan yang boleh diperdaya begitu mudah.

Taskforce Kampung Bharu telah mencadangkan suatu debat atau dialog antara saya selaku calon PAS di Parlimen Titiwangsa bersama Datuk Johari Abdul Ghani, calon BN di parlimen ini. Tarikh yang diberikan mereka adalah pada 28 April 2013, bertempat di dataran Khatib Koyan, Kampung Bharu. 

Saya memberikan jawapan dengan segera bahawa saya sanggup bersemuka dengan Datuk Johari dengan jemputan ini di atas isu Kampung Bharu. Saya juga mencabar Datuk Johari agar menerima pelawaan debat ini supaya penduduk Kampung Bharu dapat menilai wakil rakyat yang bakal mereka pilih sebagai pemimpin di Parlimen kelak. Saya berharap beliau menerima pelawaan debat ini setelah 3 kali sebelum ini beliau tidak melayan pelawaan saya berdebat.

Kepada beliau, saya nasihatkan supaya jangan hanya bermain di sebalik sepanduk, poster dan bunting kononnya berani mempertahankan kampung ini tetapi kecut apabila diajak berbincang, berdialog atau berdebat.
"SELAMATKAN TANAH KAMPUNG BARU"

AHMAD ZAMRI ASA'AD KHUZAIMI
Calon PAS Parlimen Titiwangsa


Tiada ulasan: