SPECIAL ADS

25 April 2013

PRU13: Semangat tukar kerajaan memuncak

25 Apr : ANDA boleh merasai betapa kuatnya azam masyarakat Cina untuk menuntut pertukaran kerajaan persekutuan kali ini. Malah mungkin tidak keterlaluan seandainya saya mendakwa bahawa semangat patriotik mencecah kemuncaknya, apabila ia diterjemahkan ke dalam tindakan untuk melakukan perubahan.  

Seorang anak muda memakai baju Himpunan Hijau, berdiri dalam keadaan cuaca yang sejuk di "pasar malam" Taiwan, menjulang papan dengan tulisan "Wahai rakyat Malaysia, jom balik undi. Jangan biarkan pendatang asing menentukan masa depan kita."


Padahal, bukan seorang anak muda Malaysia sahaja yang berbuat demikian, tetapi "kelakuan" yang sama juga ditemui di stesen LRT di Taiwan. Ramai pelajar Cina melanjutkan pengajian mereka di Taiwan. Jadi kelakuan ini barangkali boleh menarik perhatian warga Malaysia yang lalu di situ.


Kisahnya tidak terhenti begitu saja. Seorang pelajar di Taiwan telah membelanjakan kos sara hidup bulanannya untuk membeli tiket penerbangan supaya balik mengundi. Beliau mengakui sememangnya ia membebankan, tetapi berbanding dengan masa depan Malaysia, harga yang dibayar itu berbaloi.

Perkongsian pengalaman dan luahan hati mereka memberangsangkan warga internet yang lain di laman media sosial. Justeru, beberapa orang warga Malaysia yang bekerja di Singapura juga meneladani kelakuan mereka, dengan membuat seruan yang sama di stesen pengangkutan awam di Singapura – "Malaysia rumah anda. Sila balik mengundi."


Menurut catatan salah seorang pelaku, beliau ditanya apakah usaha ini berguna? "Jika pun hanya tiga orang (Malaysia) yang terpujuk dengan tindakan kami, yang berada di situ untuk tiga hari pada hujung minggu, ia tetap berbaloi. Ini bukan soal berguna atau tidak, ini soal sama ada kamu sanggup melakukannya atau tidak. Sama ada kamu sanggup melakukan sesuatu untuk negara anda, sama ada anda sudi mengetepikan pandangan anda yang mementingkan diri - pada saat-saat negara kita berada di persimpangan jalan, antara yang benar dengan yang batil."


Usaha mereka dihalang pihak berkuasa di Singapura, barangkali khuatir "angin perubahan yang bertiup dari Malaysia ke Singapura". Bagaimanapun, kisah yang terharu di sebaliknya, terdapat warga Malaysia yang mendampinginya, dan mengucapkan terima kasih ke atas apa yang dilakukannya. Malah ada yang menghulurkan minuman kepada mereka.


Semangat ini tidak terbatas di kalangan akar umbi, tetapi juga di kalangan "bos". Menurut laporan Guang Ming Daily, seorang majikan firma penasihat dan akaun di Singapura, mengumumkan cuti selama dua hari, dan menaja kos pengangkutan 120 orang pekerjanya dari Malaysia untuk balik mengundi. Majikan ini juga warga Malaysia, dan dianggarkan perlu membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk tujuan itu.


Tetapi beliau hanya menyifatkan perbelanjaan ini sebagai "pengorbanan kecil daripada individu", supaya Malaysia menuju ke arah negara demokrasi. Malah beliau berharap, tindakan ini boleh diteladani korporat lain untuk menggalakkan staf mereka balik mengundi.


Tarikh pembubaran Parlimen yang enggan diumumkan Najib Razak sehingga ke saat-saat akhir juga menimbulkan kerumitan untuk ramai pengundi. Najib seharusnya sedar bahawa tindakan beliau melengah-lengahkan, malah merahsiakan tarikh yang penting itu telah menyukarkan individu, malah pertubuhan untuk merancang aktiviti tahunan mereka. Takut jikalau tarikh aktiviti bertindih dengan hari pengundian, kerana masing-masing enggan terlepas peluang keemasan ini menjelang PRU13.


Seorang warga Malaysia yang berada di Switzerland, telah balik ke Malaysia pada Februari tahun ini untuk mengundi. Tunggu punya tunggu, tiada sebarang pengumuman dalam tempoh dua bulan. Maka beliau terbang semula ke Switzerland. Sebaik sahaja beliau mendarat di lapangan terbang sana, beliau dimaklumkan rakannya bahawa Parlimen telah dibubarkan.


"Saya tidak pasrah, sebaliknya saya sangat gembira, kerana masanya telah tiba. Tarikh ini telah saya tunggu untuk dua tahun!" Beliau menambah, beliau menunggu tarikh sebenar hari pengundian yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya, dan akan menempah satu tiket lagi ke Malaysia untuk mengundi. Beliau mengakui, tidak murah kosnya, lebih-lebih lagi perjalanannya mengambil 16 jam, dan kirakira tiga hari diperlukan untuk berulang-alik dari Switzerland ke Malaysia.


Mengapa beliau yang kini berada di Switzerland, sesebuah negara yang diiktiraf sebagai negara yang paling baik dan selesa di dunia, masih berhempas-pulas untuk mengundi di Malaysia? "Saya pernah bekerja di negaranegara maju, kononnya, di serata dunia. Dari hati saya menganggap Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju, yang merupakan syurga di Khatulistiwa!"


Ia bukan sekadar satu undi, kerana setiap undi penting pada PRU13 ini. Beliau menganggap undi kali ini bakal menentukan halatuju Malaysia pada masa depan, sama ada masyarakat Malaysia mampu membebaskan diri daripada kes penjenayahan yang semakin meningkat, sama ada rakyat Malaysia mampu hidup sejahtera dan menjadi negara maju.


Kisahnya terlalu banyak untuk dikongsi. Saya mengandaikan Pakatan Rakyat bertuah kerana inisiatif rakyat untuk menyumbang dalam PRU13 ini. Saya teringat sepatah ayat dalam filem Superman, semakin besar kuasa anda, maka semakin besarlah tanggungjawab anda. Seandainya diubah suai, semakin besar harapan rakyat, semakin besarlah tanggungjawab anda. Jangan kecewakan rakyat yang sanggup melakukan "kerja-kerja bodoh" ini, dengan meletakkan calon yang salah pada tempatan.


Oleh Lim Hong Siang

Tiada ulasan: