SPECIAL ADS

26 April 2013

Zahid : Bermain Politik Isu Keselamatan Negara

26 Apr : Zahid telah mengeluarkan kenyataan mengenai kematian 35 penceroboh Sulu yang kononnya ditembak mati oleh tentera Filipina tetapi juga mengeluarkan kenyataan mengenai 3 pemimpin pembangkang Malaysia yang didakwanya menjadi dalang dalam kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

Mengenai kematian 35 penceroboh itu, ia bukan saja tidak dapat disahkan oleh tentera Filipina tetapi jika benar pun kejadian itu betul sebagaimana yang didakwa Zahid diperolehinya melalui maklumat risikan, biarlah pihak Filipina atau Menteri Pertahanan Filipina yang mengeluarkan kenyataan mengenainya, bukannya beliau.

Zahid juga mendakwa 35 yang ditembak mati itu kerana mahu menimbulkan kekacauan dalam pilihanraya di negara ini. Soalnya, sejauh mana tepatnya maklumat ini dan bolehkah dipercayai dengan jumlah 35 orang itu mampu menimbulkan kekacauan dalam pilihanraya Malaysia?

Ternampak bahawa Zahid cuba menjadikan isu keselamatan dan kedaulatan negara sebagai modal politik untuk kepentingan UMNO dan BN. Sebagai menteri pertahanan, tindakan ini amat tidak matang dan diluar  perilaku yang berwibawa sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab mengenai pertahanan dan kedaulatan negara.

Zahid juga kemudiannya mendedahkan tiga orang pemimpin pembangkang negara ini yang didakwanya terlibat sebagai dalang dalam isu pencerobohan di Lahad Datu tetapi berkata hanya akan mendedahkan dan mengambil tindakan selepas pilihanraya untuk mengelakkan dituduh sebagai bermain politik.

Sekali lagi soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak harus dikaitkan dengan politik dan pilihanraya dan jika benar cukup bukti mereka yang terlibat, tindakan harus diambil tidak kira sebelum atau selepas pilihanraya.

Dengan membuat tuduhan 3 pemimpin pembangkang menjadi dalang dan membayang tindakan hanya akan diambil selepas pilihanraya, jelas Zahid cuba bermain politik dan mahu rakyat menolak pembangkang dalam pilihanraya 5 Mei depan ini.

Sambil berkata tidak mahu dituduh bermain politik, Zahid sebenarnya yang sedang bermain politik sebenarnya?


Oleh: Shahbudin dot com

Tiada ulasan: