04 Sep : Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menjemput mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) dan Ketua Pembangkang, Datuk, Seri Anwar Ibrahim atas satu pentas yang sama ketika jelajah bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Kali terakhir Dr Mahathir dan Anwar bekerjasama adalah sebelum mantan timbalan perdana menteri itu dipecat dari Kabinet pada 2 September 1998.
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka #bantahTPPA itu dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua tokoh pemimpin itu akan dijemput ke peringkat akhir Jelajah #bantahTPPA pada 10 Oktober 2013, iaitu sehari sebalum demonstrasi besar-besaran #bantahTPPA ketika kunjungan Presiden Amerika, Barrack Obama di pusat beli-belah KLCC.
"Penganjuran Jelajah #bantahTPPA kini dalam proses rangkaan akhir dan akan diumumkan dalam satu sidang media awal minggu depan. Undangan kepada Anwar dan Tun Dr Mahathir untuk berada di pentas yang sama di kemuncak jelajah juga sedia untuk disampaikan.
"Mungkin ada hikmahnya keputusan tidak popular kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel, ia sekaligus menjadi pemangkin api kemarahan rakyat untuk muncul di setiap lokasi jelajah dan bersama dalam satu demonstrasi besar #bantahTPPA, 11 Oktober nanti," kata kenyataan itu. - 4 September, 2013.
Justeru gabungan berkenaan berkata, mengambil kesempatan dari mood kemarahan rakyat hari ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak lagi menunggu dan terus menggerak kesedaran umum sehingga muktamadnya penarikkan Malaysia dari menyertai perjanjian multilateral terikat TPPA yang melibatkan negara-negara Asia Pasifik.
Jelajah anjuran SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan membantah TPPA (BANTAH) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan dilaksanakan bermula 17 September.
"Jelajah #bantahTPPA yang berbentuk ceramah umum ini akan merangkumi 15 lokasi di seluruh negara. Jelajah ini menampilkan wakil dari parti politik Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) selain aktivis BANTAH dan wakil MTEM untuk sepentas menerangkan bahana penjajahan TPPA," kata kenyataan berkenaan.
Gabungan berkenaan juga sebelum ini telah mengadakan demonstrasi di Kedutaan Amerika Syarikat.
Malah, mereka juga menggesa Putrajaya agar tidak menyertai perjanjian yang disifatkan "penjajahan ekonomi" oleh Amerika Syarikat terhadap negara membangun.
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan