07 Sep : TEMPOH 100 hari selepas PRU13 telah berlalu, Sinar Harian Online cuba mendapatkan reaksi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengenai pencapaian PR dan komen beliau mengenai isu semasa terutamanya dialog perpaduan anjuran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu kenaikan harga minyak serta isu belanjawan yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.
SINAR HARIAN ONLINE: Tempoh 100 hari selepas PRU13 telah berlalu. Bagaimana YB melihat kedudukan PR ketika ini terutama dari segi sokongan rakyat? Dalam PKR sendiri dan parti gabungannya bagaimana?
NURUL IZZAH: Pada saya kita telah melakukan yang sedaya upaya pada PRU yang lepas sehingga mendapat undi sebanyak 51.8 peratus daripada undi rakyat. Ini bermaksud setelah usaha dibuat untuk meyakinkan rakyat bahawa PR merupakan alternatif yang terbaik. Alhamdulillah kita mendapatkan keputusan yang amat memberangsangkan, itu penting.
Selain itu, ia memberikan kami lebih rasa kebertanggungjawaban menerima amanah yang begitu besar selain mendesak pilihan raya direformasikan dan membuat petisyen seperti mana dibuat oleh pihak BN di kerusi-kerusi yang berkontroversi akhirnya kita telah bertemu untuk mewujudkan Belanjawan Alternatif 2014.
Ini kerana kita rakyat berharap kepada kita untuk menawarkan belanjawan yang dapat menjaga kebajikan mereka.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana YB melihat prestasi wakil-wakil rakyat PKR yang menang buat kali pertama kali ini?
NURUL IZZAH: Pada saya bila kita telah melalui liku-liku cabaran yang terdahulu seperti PRU11, PRU 12, tentunya tiba PRU13 rakyat mahukan calon yang lebih berketerampilan dan Rafizi Ramli adalah contoh terbaik untuk berdebat, seorang yang berani.
Shamsul Iskandar (Mat Akin) juga yang dulu hanya Pengerusi Majlis Pimpinan Universiti Islam Antarabangsa, jadi semua ini penting akhirnya hasrat kita untuk menonjolkan wakil-wakil yang kredibiliti, bebas rasuah dan berani memperjuangkan isu rakyat.
Saya juga ingin sebutkan di Pulau Pinang, Ahli Parlimen Bayan Baru, Ahli Parlimen Padang Serai, saya suka melihat mereka yang punyai idealisme. Mereka bukannya baru tapi sudah lama bersama kita, jadi akhirnya kita dapat “bertarung” dasar di Parlimen supaya tindakan tidak wajar berlaku contohnya kenaikan harga minyak ini berulang.
SINAR HARIAN ONLINE: Kelmarin dalam satu kenyataan media, Pemuda Pas ada buat 'teguran' terbuka mengenai tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar yang menawarkan dialog terbuka bersama kerajaan BN untuk selesai isu rakyat. Teguran agak pedas kerana katanya dulu ketika pemimpin kemuka idea sama, akan dikritik. Apa komen YB?
NURUL IZZAH : Saya minta Naib Pemuda Pas Pusat merujuk dahulu kepada pemimpin tertinggi PR, perbincangan itu dibuat dengan baik sendiri oleh majlis pimpinan PR Pusat di setiap ketika.
Kita tak akan membuat cadangan ini tanpa memaklumkannya kepada parti perikatan PR yang lain. Jadi saya agak kecewa, sepatutnya beliau terlebih memeriksa dengan kepimpinan dalam Pas sendiri sebelum membuat kenyataan sedemikian. Apa yang penting di sini kita telah ikut struktur, laluan dan ruang yang diberikan. Kita juga yakin sehingga saat ini Majlis Pimpinan Tertinggi PR mengetahui dan merestui perkara tersebut. Apa yang diminta hanya satu kerjasama di dalam perundingan meja bulat bercakap mengenai masalah jenayah dan ekonomi yang dilakukan oleh banyak negara.
Selepas PRU13 kita menggunakan saluran yang betul apabila tidak berpuas hati dengan memfailkan petisyen.
Jadi sekarang tiba masanya untuk manyatakan Malaysia mempunyai masalah jenayah, dan ekonomi yang tidak terkawal. Justeru, perlu ada perundingan meja bulat yang meminta parti masing-masing meninggalkan latar belakang dan idealogi politik.
Kita hanya minta berdiri teguh dan berbangga dengan parti masing-masing untuk menangani perkara ini.
Bajet Alternatif PR 2014
SINAR HARIAN ONLINE: Kerajaan BN akan membentangkan Bajet 2014 pada Oktober nanti yang diumumkan ia juga memberi kebaikan kepada rakyat di peringkat bahawahan. Jadi mungkin PR juga turut akan membentangkan bajet alternatif seperti sebelum ini?
NURUL IZZAH: Ya, kita akan adakan bajet alternatif yang sedikit sebanyak ada di dalam Buku Jingga.
SINAR HARIAN ONLINE: Boleh YB berkongsi apakah yang akan diketengahkan dalam Bajet Alternatif 2014 oleh PR nanti?
NURUL IZZAH: Kami akan ketengahkan 60 peratus golongan yang mendapat gaji RM3,000 sebulan diutamakan, ia termasuk dalam mana-mana dasar kita selain menghentikan subsidi korporat.
Selain itu kita akan menghentikan pentadbiran bebas rasuah, melaksanakan tender projek secara terbuka supaya pulangan yang adli saksama kepada rakyat.
Kita juga akan memastikan tidak ada lagi skandal memalukan negara, seperti yang berlaku sekarang iaitu negara mempunyai defisit selama 16 tahun sehingga rakyat tidak boleh merasai lagi subsidi.
Dalam bajet alternatif itu, kita juga akan melihat bidang kesihatan dan pendidikan yang kita tak boleh kompromi.
Kita juga perlu lihat pelaksanaannnya di bawah supaya ia tidak menipu rakyat. Perkara itu boleh dikesan ketika Laporan ketua Audit Negara (LKAN) dikeluarkan nanti.
Bagi menangani masalah itu, kita akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam pada itu, dalam bajet PR kali ini, kita akan ketengahkan isu-isu yang membelenggu rakyat golongan pertengahan. Kita juga ada insentif-insentif tertentu kepada golongan ini.
Bagaimanapun kita akan fokuskan dengan perubahan struktur bukan sekadar memberi dana seperti BR1M yang dilakukan BN.
SINAR HARIAN ONLINE: Sejajar dengan keputusan kerajaan yang mengumumkan subsidi minyak petrol RON95 dan diesel diturunkan, adakah YB rasa perkara ini ada rasionalisasinya?
NURUL IZZAH: Rasionalisasi ini berat sebelah. Ia rasional untuk memotong subsidi rakyat tapi tidak rasional apabila berkait dengan poket menteri-menteri.
Kita perlu ada satu undang-undang yang rasionalisasi dan adil kepada semua. Bagi PR, sebelum ini kerajaan mahu menaikkan gaji ahli Parlimen PR tapi kita tolak, kita tak boleh terima keputusan itu apabila rakyat semakin sengsara. Walaupun kita tidak mempunya bajet yang cukup dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat di di kawasan Parlimen masing-masing.
SINAR HARIAN ONLINE: Pengurangan subsidi atau rasionalisasi subsidi yang ingin dilaksanakan oleh kerajaaan dimulakan dengan bahan api, mungkin bagi PR ada idea lain atau cara untuk membantu mengurangkan beban rakyat namun pada masa sama, menjana ekonomi mereka.
NURUL IZZAH : Bagi saya kalau kita boleh selesaikan bab rasuah, berbilion ringgit kita boleh selamatkan itu yang harus dan wajib menjadikan keutamaan.
Selain itu, kita cuba untuk selesaikan dan memberitahu rakyat pengiraan sebenar harga minyak ini, di mana kebanyakkan rakyat tidak mengetahui berapakah jumlah yang subsidikan dan sebagainya. Kita akan memberi pendedahan ini yang akan diketuai oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bersama Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.
Kita juga sering membuat pantauan harga barangan keperluan di lapangan, contohnya Ahli Parlimen Pokok Seana Datuk Mahfuz Omar. Beliau sering turun padang menyemak barangan keperluan di pasar-pasar dan sebagainya. Ini langkah yang baik untuk mengelakkan pengguna terus ditipu.
Bagaimanapun kita juga turut “bekerjasama” dengan kerajaan dengan membawa aduan rakyat yang rasa terbeban dengan masalah itu.
SINAR HARIAN ONLINE: Setakat ini adakah boleh YB boleh katakan PR berjaya menjadi pembangkang yang baik?
NURUL IZZAH : Ya, kita cuba. Kita cuba pertaruhkan 'loyal to the constitution' namun tidak semestinya kita taat kepada BN.
Kita tak cakap kita sempurna, tapi kita sentiasa beri ruang kepada rakyat dan mana-mana pihak untuk mengkritik kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan