04 Sep : Dewan Ulama PAS mengajak rakyat negara ini bangkit untuk satu lagi perjuangan kebebasan, iaitu perjuangan membebaskan Malaysia daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Mereka adalah petualang di muka bumi ini," kata Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS, Muhammad Ismi Mat Taib dalam satu kenyataannya hari ini.
Beliau mendakwa, rakyat dizalimi, ditindas dan paling ketara ialah maruah rakyat tergadai kerana RM500, wang bantuan BR1M, sedang kepahitan yang ditanggung adalah lima tahun lamanya.
Katanya, selama 55 tahun merdeka, nilai kepentingan rakyat di sisi Umno-BN hanyalah RM500.
Kenyataan Dewan Ulama PAS itu adalah antara yang paling vokal dalam menentang pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menaikkan harga minyak 20 sen kelmarin.
Najib mengumumkan kenaikan harganya petrol RON95 sebanyak 20 sen menjadikannya RM2.10 dan diesel juga 20 sen menjadikannya RM2.00.
Ekoran itu, laman sosial aktif kembali selepas reda ekoran selesainya PRU ke-13.
Ismi mendakwa, Malaysia memang sudah merdeka, tetapi masih perlu bebas daripada Umno-BN.
"Sejarah menceritakan segala-galanya. Jika sejarah diteliti, kita akan dapati bahawa Umno-BN ini sebenarnya bukan parti orang Melayu, tetapi Parti British berbangsa Melayu. Orang Melayu diperalat untuk kepentingan “pewaris” takhta penjajah ini," katanya.
Beliau berkata, Umno - BN juga gagal mempertahankan kepentingan orang Malayu.
"Perlembagaan yang kita guna pada hari ini, segala akta drakonian yang dilaksanakan, sebenarnya adalah antara warisan penjajah yang sangat hebat dipertahankan oleh Umno," katanya.
Katanya, Umno menjadi penyebab tulisan jawi dihapuskan, Bahasa Inggeris dimartabatkan, malah terus-menerus diam dalam menyatakan ketegasan terhadap isu umat Islam di seluruh dunia khususnya di Mesir.
Beliau berkata, pada hakikatnya, penderitaan yang dialami oleh rakyat sudah lama bermula dan kini, ia semakin bertambah.
“Kenaikan harga barang, pelbagai cukai dikenakan kepada rakyat bahkan hak untuk mendapatkan biasiswa kini menjadi punca utama anak muda berdepan dengan risiko muflis,” katanya.
Ismi berkata, jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Automotive Association, pada 2010 ialah 536,905 kenderaan.
Jika diambil purata setiap kenderaan (termasuk kenderaan berat) menggunakan hanya 10 liter minyak sehari, maka jumlah kenaikan harga minyak ini mencecah RM1 juta sehari.
Katanya, kenaikan harga minyak bukan isu utama yang membangkitkan kemarahan rakyat, namun isu utama sebenar ialah kelemahan dan kegagalan urus tadbir negara yang sangat membimbangkan.
Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik tetapi pada masa sama Malaysia juga gagal mengurangkan beban hutang ditanggung.
Beliau mendakwa, pelbagai sektor utama seperti penyelidikan dan pendidikan tidak diberikan bantuan secukupnya, sedangkan syarikat besar tempatan dan luar negara dipelihara dengan sebaiknya, sehingga ada yang dikecualikan cukai selama 10 tahun.
“Atas alasan apakah, rakyat Malaysia perlu menanggung beban hutang lebih setengah trilion akibat sifat boros dan kegagalan urustadbir Umno-BN? Atas alasan apakah, rakyat terpaksa menanggung beban inflasi sedang pemimpin Kerajaan terus-menerus meningkatkan beban hutang negara.
"Tidak cukup dengan isu ekonomi, perpaduan nasional juga teruk terjejas disebabkan oleh sentiment kebangsaan yang sangat tebal dalam Umno-BN," katanya.
Yang Dipertua PAS kawasan Parit itu berkata, sejak negara masih belum merdeka lagi, kita sudah pun menerima kaum Cina dan India sebagai jiran.
"Mengapakah tempoh yang begini lama masih belum dapat membuang prejudis dan prasangka antara kaum dan agama di Malaysia?
"Muncul pula filem “Tanda Putera”, seolah-olah ingin menanam sejarah palsu yang hanya akan memanjangkan sengketa," katanya.
Maka, katanya, semua rakyat negara ini perlu menjadi bangsa Malaysia yang benar-benar merdeka, akal, jiwa, akal dan raga.
"Sudah sampai masanya kita bebaskan Malaysia daripada cengkaman Umno-BN yang sama sekali tidak pernah simpati dengan nasib rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan