KUALA LUMPUR : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya profesional dan tidak membuat keputusan yang meragukan umat Islam dalam isu coklat Cadbury.
Ketua Penerangan KEADILAN, Muhammad Nur Manuty berkata, badan itu merupakan pihak bertanggungjawab yang mengeluarkan tanda halal bagi produk makanan untuk umat Islam.
“Contohnya dah jadi sekarang ni, coklat Cadbury sekejap kata haram, hari ini kata halal. Pastinya ia meragukan masyarakat Islam. Jadi perkara seperti ini perlu diambil kira,” ujarnya kepada Keadilan Daily.
Media hari ini melaporkan, dua produk Cadbury yang dilaporkan mengandungi DNA babi disahkan bebas daripada unsur haram berdasarkan analisis dijalankan Jakim.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kedua-dua sampel coklat tersebut diambil dari kilang pengeluar produk itu di Shah Alam dan disahkan halal.
Ia sama sekali berbeza dengan analisis Kementerian Kesihatan sebelum ini yang mengesahkan penemuan DNA babi dalam produk makanan tersebut.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan berkata, meskipun dua sampel produk itu disahkan bebas DNA babi, namun ia tidak mudah untuk mengakhiri kekeliruan dan keraguan pengguna.
Beliau menegaskan beberapa persoalan perlu dijawab, antaranya, mengenai tahap kesahihan tanda halal dikeluarkan JAKIM.
“Umat Islam memikirkan bagaimana pematuhan terhadap tanda halal itu, kelihatan tidak dipatuhi oleh sebuah syarikat yang besar,” katanya dilapor media. KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan