Pemilihan tersebut dilakukan oleh syarikat penerbit, Oxford Dictionaries selepas perkataan Inggeris itu paling kerap digunakan pada tahun tersebut.
Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin berkata, selfie adalah singkatan kepada gabungan perkataan potret diri sendiri (self-potrait).
“Selfie merupakan budaya baru membabitkan tabiat yang sukar dimengerti. Sebagai contoh, kalau dahulu hanya wanita sahaja yang obses untuk menonjolkan penampilan dan paras rupa mereka, tetapi sekarang golongan lelaki juga berebut-rebut berbuat demikian," katanya.
Menurut Siti Azura, bukanlah menjadi isu besar jika individu mengambil gambar sendiri mahupun bersama-sama kumpulan ketika sedang melakukan aktiviti dengan tujuan menyampaikan maklumat dan berkongsi kegembiraan.
Bagaimanapun, nampak aneh dan jelek di mata kebanyakan orang jika gambar tersebut sengaja diambil dengan aksi mengada-nada, seksi, gaya mulut itik (duckface) dan sebagainya.
Menurutnya lagi, tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja paling ramai berminat dengan tabiat selfie berbanding golongan dewasa dan orang tua.
“Dalam ilmu psikologi, remaja diklasifikasikan sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan sedang mencari ‘identiti diri’ untuk membentuk keyakinan.
“Mereka adalah golongan yang mudah terikut-ikut dengan kawan dan budaya yang dilihat. Mereka juga adalah golongan yang tidak pandai menangani tekanan dan akan mudah hilang kawalan diri," katanya.
Beliau mengambil contoh, kes yang berlaku kepada seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dari England, Danny Bowman, yang menghabiskan masa hampir 10 jam setiap hari untuk mengambil kira-kira 200 gambar selfie menggunakan telefon bimbit.
“Bagi kes ini, saya rasa ibu bapa orang yang paling bertanggungjawab untuk memantau segala aktiviti dan tingkah laku anak mereka. Tidak salah jika ibu bapa mengambil tahu apa yang dilakukan anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan sebagai langkah berjaga-jaga," jelasnya.
Menurut Siti Azura lagi, individu yang gemar bergambar secara selfie kebiasaannya mempunyai motif untuk tujuan kepuasan sementara.
Golongan ini katanya, ingin memaklumkan atau berkongsi 'saat itu' atau aktiviti yang sedang dilakukan atas alasan berkongsi pengalaman dan rasa gembira.
“Ada sebahagiannya suka berbuat demikian untuk menghiburkan diri sendiri dan menghilangkan tekanan. Ada yang memuat naik gambar sendiri dalam laman sosial untuk tujuan perkongsian tanpa ada motif yang keterlaluan.
“Ada pula mereka yang keterlaluan dalam menunjuk sesuatu perkara sehingga berkongsi perkara yang sepatutnya menjadi hak privasi mereka seperti gaya tidur, saat bercinta, malah gambar dalam tandas pun mahu dikongsi dengan orang ramai," katanya.
Beliau mengambil contoh di Thailand, budaya selfie yang begitu popular terutama di kalangan remaja, menyebabkan Jabatan Kesihatan Mental negara itu telah mengeluarkan amaran kepada generasi muda yang terlalu obses.
Kerajaan Thailand berpendapat, sikap ini boleh menyebabkan masalah mental pada masa hadapan terutama sekali berkaitan keyakinan diri, di mana ini boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kehidupan seharian seseorang, karier dan juga pembangunan negara.
Menurut Siti Azura lagi, memberi terlalu banyak perhatian kepada gambar sendiri yang dimuat naik ke dalam laman sosial dengan harapan mendapat jumlah like paling banyak merupakan satu petanda bahawa selfie boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah, termasuk kemungkinan untuk hilang keyakinan diri.
“Keyakinan diri adalah penting kerana ia membolehkan seseorang itu berasa berpuas hati, gembira, berupaya menerima kebenaran.
“Mereka yang hilang keyakinan akan berasa gementar, teragak-agak dan tidak gembira dengan kehidupan sendiri. Hidup dalam keadaan ini untuk satu jangka masa yang lama boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi seperti paranoid, cemburu, penumpuan kepada perkara yang remeh serta kemurungan," jelasnya.
Menurut beliau lagi, salah satu penyakit mental yang selalu dikaitkan dengan perbuatan yang berulang-ulang dan ketidakupayaan diri adalah Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).
Ia adalah perasaan was-was yang melampaui tahap normal dan dikategorikan sebagai salah satu daripada penyakit mental.
“Ramai sebenarnya yang mengalami penyakit ini, termasuk diri kita sendiri yang kadang-kadang kita tidak sedar, selain di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan kawan-kawan.
“Apa yang membezakan tahap keseriusan penyakit tersebut, dari tahap ringan hingga ke tahap kritikal, yang mana seseorang itu memerlukan ubat dan kaunseling di hospital.
“Penyakit ini boleh dikaitkan dengan selfie jika kita mempunyai simptom seperti was-was dengan diri sendiri seperti penampilan, bentuk badan, riak muka, wajah dan apa-apa aktiviti diri sendiri. Ini dituruti dengan pengambilan gambar dan memuat turut dalam kadar yang sangat banyak.
“Jika tabiat selfie menjadi satu penyakit yang tidak terkawal secara terus-terusan sehingga seluruh masa ditumpukan padanya, maka bantuan kaunseling boleh diberikan kepada mereka.
“Mereka boleh dibawa berjumpa kaunselor bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan dengan tabiat selfie yang dialami," ujarnya lagi.
Begitupun, beliau mengakui agak keterlaluan jika mengkategorikan tabiat selfie ini sebagai penyakit mental secara umum.
Hanya pakar psikiatri yang layak mendiognasisnya sebagai kecelaruan mental setelah dirawat.
[Sumber]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan