SPECIAL ADS

3 Jun 2014

ATA: Nahas MH370 tidak boleh berulang lagi


Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berikrar bahawa kehilangan pesawat komersial yang besar seperti nahas MH370 tidak boleh berulang lagi.
    
Ketua Pengarah merangkap Ketua Pengarah Eksekutif IATA, Tony Tyler berkata, misteri kehilangan pesawat Boeing 777 itu adalah satu peristiwa yang belum pernah berlaku sebelum ini dan menggesa industri penerbangan menumpukan usaha mencari pesawat itu dan bukannya menumpu kepada penstriman data.
    
"Mengesan pesawat adalah langkah pertama yang paling penting dalam usaha mengelakkan kehilangan yang serupa pada pesawat lain," katanya sambil menambah ini merupakan satu kejadian yang sangat mengejutkan industri penerbangan kerana MH370 telah hilang bersama 239 anak kapal dan penumpang tanpa sebarang kesan sejak 8 Mac dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
    
Pengesanan pesawat itu sepatutnya merupakan sesuatu yang boleh dibuat dengan mudah.
    
Sebagai perbandingan, "Jika anda memulakan penstriman data daripada 100,000 penerbangan sehari, anda akan berakhir dengan sejumlah data yang sangat besar dan ia mungkin tidak dapat diuruskan," kata Tyler kepada pemberita semasa Mesyuarat Agung Tahunan IATA ke-70 dan Sidang Kemuncak Pengangkutan Udara Dunia di Doha semalam.
    
Tyler berkata, misteri kehilangan pesawat Boeing 777 itu adalah satu peristiwa yang belum pernah berlaku sebelum ini
    
Katanya, IATA, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan pakar-pakar dari seluruh dunia telah bekerjasama dalam mencari pilihan terbaik bagi menambah baik pengesanan pesawat global.
    
Draf cadangan berhubung perkara itu akan diusulkan kepada ICAO pada September ini.
    
Tyler berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa tahun sebelum sesuatu sistem diguna pakai dan bukannya akan berlaku dalam sekelip mata.
    
Menurutnya, beberapa syarikat penerbangan mungkin mampu memperkenalkan sistem pengesanan lebih awal tetapi mesti ada satu sistem global yang konsisten dan juga tidak ada persetujuan sejagat mengenai isu itu.
    
MH370 hilang sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan masih tidak dijumpai sehingga kini walaupun usaha pencarian antarabangsa yang melibatkan lebih dari 12 negara, terutamanya di Lautan Hindi.
    
Data komprehensif kini membantu menambah baik sistem keselamatan, katanya.
    
Projek Pengurusan Data Penerbangan Global (GADM) oleh IATA membina sumber maklumat operasi yang terbesar di dunia dengan data dari pelbagai penyumbang global seperti kerajaan dan industri, kata Tyler.
    
"Matlamat utama kami adalah untuk meramalkan potensi kemalangan dan memastikan bahawa ia tidak berlaku. Ini bukan fiksyen sains. Setiap sumbangan data yang baru dan setiap peningkatan keupayaan analitikal sedang bergerak lebih dekat kepada realiti," katanya.

Tiada ulasan: