KUALA LUMPUR 01 Apr : PAS tetap menolak tawaran Kerajaan Umno-BN untuk menggunakan slot Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan manifesto parti Islam itu selama 10 minit dalam PRU13 kali ini.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, tawaran tersebut bukan melambangkan kebebasan media, tetapi disifatkan sebagai satu bentuk penghinaan daripada pihak Umno-BN kepada rakyat dan parti-parti pembangkang di negara ini.
Menurut beliau, sekarang bukan masanya lagi untuk pihak Kerajaan Umno-BN mahu menunjukkan mereka mengamalkan kebebasan media, memandangkan tuntutan itu telah dibuat oleh PAS dan Pakatan Rakyat sejak sekian lama.
Malah katanya, semakin diasak ke arah itu, Umno-BN semakin ketara mengongkong kebebasan media, sehingga graf kebebasan media di negara ini berada pada tahap makin rendah dari setahun ke setahun.
"Jadi setelah lima tahun mereka menyerang PAS dan Pakatan Rakyat, kenapa sekarang setelah hampir dengan PRU13 barulah nak beri peluang kepada kita untuk menjelaskan manifesto selama 10 minit?" katanya ketika dihubungi 29 Mac lalu.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim pada 22 Mac lalu mengumumkan Kerajaan Umno-BN bersetuju memberikan setiap parti masa selama 10 minit untuk mewar-warkan intipati manifesto mereka, menjelang PRU13 kali ini, sebagai menghormati sistem demokrasi di dalam negara ini.
Pada 25 Mac lalu, DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menolak tawaran itu dengan alasan Kerajaan Umno-BN melayan Pakatan sama seperti peminta sedekah, dengan menyifatkan 10 minit waktu siaran tidak memberi apa-apa makna kepada pembaikan kebebasan media.
Menerusi Setiausaha Agungnya, Dato' Mustafa Ali, PAS turut menolak tawaran kerana ruang itu digunakan untuk menyiarkan apa yang rakam, dan bukannya siaran langsung.
Katanya, disebabkan bukan siaran langsung, PAS bimbang siaran yang dirakam itu akan diolah oleh RTM kerana apa-apa kemungkinan boleh sahaja berlaku.
KeADILan pula menerusi Ketua Umumnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mac lalu turut menolak cadangan itu, kerana tawaran tersebut dianggap sebagai memperolok-olokkan kebebasan media.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, penolakan PAS terhadap tawaran itu bukan kerana masa yang diberikan hanya 10 minit, tetapi persoalannya kenapa sekarang dan dalam waktu PRU13?
"Kalau sejam pun masa yang diberikan, PAS akan tolak juga. Sedangkan PAS dan Pakatan Rakyat sudah lima tahun mendesak kerajaan mengamalkan kebebasan media di negara ini, berserta tujuh lagi tuntutan lain Bersih untuk dilaksanakan, tetapi tetap juga tidak diendahkan oleh kerajaan," tegasnya.
Selain akses media yang bebas dan adil, tujuh lagi tuntutan PAS untuk dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah bersihkan senarai undi; mereformasikan undi pos; menggunakan dakwat kekal; masa kempen minima 21 hari, mengukuhkan institusi awam; menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.
Menurut Mohamad, sebelum keputusan itu dibuat, PAS telah mengadakan perbincangan dengan KeADILan dan DAP, keputusan tersebut adalah keputusan yang telah dipersetujui bersama oleh kesemua parti dalam Pakatan Rakyat.
Beliau kesal dengan tahap kebebasan media di negara ini kerana berdasarkan kajian yang dibuat oleh badan pengkaji kebebasan media antarabangsa mendapati, Malaysia sekarang berada pada tangga 145 daripada 179 negara di seluruh dunia daripada segi kebebasan media.
"Tahun lalu, Malaysia berada pada tangga 126, tetapi tahun ini meningkat lebih teruk ke tangga 145. Ini meletakkan Malaysia setaraf dengan negara di Afrika selatan. Mongolia pula adalah negara paling demokratik dalam hal ini," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan