SPECIAL ADS

13 April 2013

Si Kaya Dengan Si Miskin



SABAH 13 APRIL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada ikatan antara pemimpin Umno BN dengan rakyat kerana mereka tidak pernah mengalami kesukaran hidup seperti mana rakyat biasa.
“Tidak ada talian di antara pemimpin BN yang kaya dengan rakyat miskin. Apakah mereka tak tahu pendapatan rakyat tidak meningkat sejak tiga bulan lalu?
“Harga barangan keperluan mahal. Barang dikawal oleh tauke, dan tauke kroni BN,” katanya depan lebih 500 hadirin pada ceramah Jelajah Pakatan Harapan Rakyat di Kampung Labuan, Kota Belud, malam tadi.
“Mereka sebut tentang wasatiyah. Tapi wasatiyah apa kalau gaji anak Menteri RM30,000 sebulan, anak orang biasa gaji RM800?
“Anak orang kampung, lepas jadi graduan universiti, lapan bulan masih tak dapat kerja. Anak menteri dengan mudah dapat kontrak jaga lembu,” katanya disambut ketawa hadirin.
Kata Anwar, rakyat Sabah berani menukar kerajaan negeri, justeru sekarang mereka berpeluang untuk menukar kerajaan di peringkat pusat.
“Siapa kata hanya Umno pandai tadbir? Saya Menteri Kewangan lapan tahun, (negara boleh) bayar hutang. Najib (Razak) empat tahun jadi Menteri Kewangan, hutang negara meningkat RM400 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, rancangan pembangunan fizikal dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak berdasarkan pemerhatian Pakatan Rakyat terhadap masalah sebenar rakyat di kedua-dua negeri tersebut.
Malah rancangan itu ditiru pula BN dalam pelancaran manifestonya 6 April lalu melalui cadangan pembinaan Lebuh Raya Pan-Borneo sejauh 2,300 kilometer dari Sematan di Sarawak ke Serudong di Sabah.
Sedangkan Pakatan Rakyat terlebih dahulu mencadangkan pembinaan Lebuh Raya Pan-Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Kudat dalam pelancarannya Manifesto Rakyat di Shah Alam 25 Februari lalu.
Malah, Pakatan Rakyat turut akan memperluaskan dan menaiktaraf rangkaian landasan keretapi di Sabah dan Sarawak yang kini terdiri hanya pada 134 km sahaja selain menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu kita (cadang) buat Lebuh Raya Pan-Borneo. Siapa kata kita tak ada duit? Ini bukan keadilan. Hasil minyak petrol RM80 bilion setahun, hasil kelapa sawit RM70 bilion setahun.
“Apa salahnya belanja RM6 bilion untuk bina lebuh raya. Bila kita nak buat, Najib kata bankrap,” kata Anwar mengingatkan hadirin tentang penolakan tawaran debat oleh Perdana Menteri. – SDQ

Oleh: Sadiqin Omar


Tiada ulasan: