SPECIAL ADS

10 April 2013

Artikel 88: FAM putus keputusan 17 Ogos

FAM
10 Apr : PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal membentangkan beberapa pindaaan dan pembaharuan yang terkandung dalam Artikel 88 pada kongres tahunan 17 Ogos depan.

Naib Presidennya, Datuk Affandy Hamzah menjelaskan, buat masa ini FAM masih mengkaji beberapa pindaan  bersesuaian keadaan semasa demi kebaikkan pembangunan dan mutu bola sepak Malaysia.

“Hari ini kita membincangkan perkara tersebut namun masih di peringkat awal (pertama).

"Kita akan susuli secara berperingkat dalam masa terdekat dan mendapat perkenan Presiden sebelum dibawa usul dalam Mesyuarat Kongres Tahunan Ogos nanti,” katanya.

Jelasnya, FAM memandang serius mengenai perkara ini dan ingin memastikan sebarang penambahbaikan ini  lebih dan terperinci.

“Beberapa perkara yang akan kita kaji adalah perlu melihat situasi dan individu bersesuaian untuk mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan salah tafsiran dan masalah dikemudian hari,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, FAM juga mengambil tindakan menunda beberapa perlawanan dalam Liga Malaysia yang berlangsung pada sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Presiden Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, memandangkan tarikh pilihan raya ditetapkan pada 5 Mei beberapa perlawanan yang berlangsung pada tarikh tersebut perlu dipinda.

“Mesyuarat bersetuju perlawanan yang dijadualkan 3,4 dan 5 Mei dipinda kepada 21, 22 dan 23 Mei bagi tidak mengganggu proses pilihan raya nanti.

“Kita harap dengan perubahan tarikh ini akan memberi masa untuk pemain dan mereka berkaitan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” kata Hamidin.

Hamidin turut memaklumkan bahawa mulai tahun depan semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia dibenarkan mendaftar tiga pemain import namun salah seorang darinya perlu pemain dari Asia.

“Kita mengambil keputusan ini untuk memberi lebih cabaran dan saingan kepada pasukan serta pemain tempatan berbanding tahun ini di mana hanya dua pemain import dibenarkan beraksi mewakili pasukan serta kelab,” ujar beliau.

Tiada ulasan: