SPECIAL ADS

25 April 2013

Bekas Duta AS dakwa Pakatan Rakyat mampu buat kejutan.


25 Apr : Bekas Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, John R Malott (gambar, dua dari kiri) mengakui pilihanraya umum ke-13 kali ini sebagai 'sangat sengit' dan terlalu terbuka. 

Malott yang merupakan duta besar AS dari tahun 1995 hingga 1998, ketika bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan memberitahu bahawa Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar lebih bersedia menghadapi pilihanraya berbanding lima tahun lalu. 

Bercakap dalam satu majlis percambahan minda anjuran Kelab Wartawan Kebangsaan AS di Washington semalam, Malott memberitahu bahawa walaupun BN menang sekalipun ia tidak dapat tidak akan terus ditekan dari seluruh penjuru kerana terus mengamalkan politik rimba tanpa memberi kebebasan kepada media, ekonomi bebas dan masa depan negara di rantau Asia Tenggara ini. 

Sambil mengakui Anwar merupakan calon paling tepat untuk menggantikan bekas perdana menteri, Malott menyatakan sekiranya Pakatan Rakyat menang dan berkuasa, AS pasti akan mengiktiraf kerajaan baru kerana negara Malaysia merupakan rakan dagang penting negara Uncle Sam itu di sebelah Asia. 

Bagi mengimbangi China dan Korea Selatan dari segi ekonomi, Malott turut mengingatkan bahawa jika BN tidak berubah selepas pilihanraya umum 5 Mei nanti, pelabur asing terutama AS akan terus menjauhi Malaysia dan meneroka peluang di negara lain seperti Vietnam, Myanmar dan Kemboja. 

Sama ada Najib menang atau kalah, katanya, BN sudah pasti akan menerima pemimpin baru dengan nama Muhyiddin Yassin diletakkan sebagai calon pertama.

Malott kini merupakan penulis khas bagi ruangan Malaysia untuk akhbar The Wall Street Journal, East-West Center selain menjadi tetamu khas di ruangan kolum di portal berita berpengaruh, Malaysiakini. 

BN katanya menghadapi Pakatan Rakyat dalam keadaan paling tersusun sejak menang lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan pada 2008 selain menafikan majoriti keramat dua pertiga di parlimen, petanda tidak baik untuk BN kekal berkuasa. 

Beliau turut memetik kajian yang dilakukan Dr Bridget Welsh dari Singapore Management University (SMU) kelmarin mengenai betapa pentadbiran Najib telah menghabiskan sejumlah USD19 bilion (RM58 bilion) hanya semata-mata untuk tujuan berkempen sejak pengenalan program 1Malaysia dilancarkan tiga tahun lalu. 

Nilai tersebut adalah kira-kira 20 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara selama setahun, jelas Malott kepada 130 peserta majlis eksklusif untuk pelabur dan kaum pemodal negara itu. 

Pendedahan Malott tersebut mengejutkan peserta yang hadir dan ramai mempersoalkan tindakan Najib yang terus berbelanja di sebalik hutang luar yang sudah mencecah RM502 bilion (USD198 bilion) hanya dalam tempoh empat tahun saja selepas mengangkat sumpah jawatan pada 3 April 2009. 

Tambahnya lagi, Anwar dan Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah untuk menggantikan BN dengan syarat tidak melakukan kesilapan dan fokus dengan semangat perubahan yang ditunjukkan rakyat termasuk pengenalan dasar utama seperti penurunan harga minyak dan pemberian pendidikan percuma. 

Ramalannya, pakatan mana yang akan membentuk kerajaan persekutuan hanya akan menang dengan majoriti tipis, sama ada BN atau Pakatan Rakyat kerana persiangan sengit berlaku di semua kerusi parlimen di seluruh negara.

Tiada ulasan: